orangnya kecil,
berjiwa besar,

jawatan tinggi,
merendah diri.

Orangnya kecil sahaja, tetapi punya jiwa besar yang menginspirasikan. Walaupun dia berjawatan tinggi, aduh, rendah dirinya menambah kagum. Wajahnya bercahaya, penuh ceria. Saat bibir mengeluarkan kata-kata, ketokohannya terserlah, dan senyuman tiada pernah lekang. Apa yang diperkatakan, seperti deruan air yang tenang, menusuk kalbu menyejuk jiwa.

Dia kecil sahaja. Lincah, bersemangat, penuh inspirasi. Lingkaran hitam di bawah mata, tidak menjejas ayu wajahnya. Lingkaran hitam yang menunjukkan kerasnya dia bersengkang mata, melakukan tugas-tugas seorang dai'e, juga seorang pemimpin muslimat.

Dia pemacu gerakan muslimat. Tidak hairanlah, dia begitu beraura bila di hadapan. Walaupun dia merendah diri, keyakinan dirinya begitu tinggi saat berdiri melontar kata. Pandai sungguh dia menepis lahiran emosi berbaur amarah, menenangkan suasana panas yang semakin membahang. Tenang dan tidak menunjukkan riak terkejut apatah lagi takut dengan hujah berbisa seorang Muslimin. Kompetensi Kecerdasan Emosi yang tinggi, bilamana jemala fikirnya berada di atas emosi, merasionalkan segala kata dan tindakan.

Terima kasih Ya Allah, kerana menemukan aku dengan dia.

Penyuntik Semangat Mahasiswa!! Itulah dia.

Kepada rakan-rakan di luar sana, sesekali ayuhlah kita keluar dari kepompong, keluar dari tempurung, melihat dan bertemu dengan insan-insan yang menginspirasikan. Andai masa membataskan pertemuan, alam maya sentiasa terbuka untuk kita mengembara.

Kembalikan semangat dalam diri, melangkah penuh teguh, kitalah sayap kiri perjuangan! Tangan yang menghayun buaian, bisa juga menggoncang dunia. Siapakah bakal pengganti Khaulah al-Azwar?? Di mana dicari Zainab Al-Ghazali??

Muslimat POWER! POWER! POWER!!!

Takbir!! ALLAHUAKBAR!!!



.::LINK MUSLIMAT POWER::.
(ini hanya contoh, banyak lagi sebenarnya Muslimat yang power ni..)
~Senyum Dai'e
~Srikandiharaki
Semalam telah diadakan perlawanan bola jaring antara Blok J dan Blok C. Blok J diwakili oleh Along, Diyana, Gee-a, Cu-a, Iman, Wani dan Nad. Penyokong kami terdiri daripada Siti, ..., ... ,... (Sedih..huhu.) Oleh kerana penyokongnya seorang, maka kami juga menghadiahkan satu jaringan buat blok J. =)

Blok C pula disokong oleh ramai ahli blok, mereka berjaya menjaringkan 9 gol hasil gabungan mantap Hana dan Zimah. Tahniah diucapkan.


PENGADIL

Dalam apa-apa perlawanan pun, pastilah ada pengadil yang mengadili. Pengadil perlawanan semalam telah menjalankan tugas dengan baik. Walaupun ada juga rasa ketidakpuasan hati, tetapi, itu semua adalah atribusi untuk menyeimbangkan kekalahan yang dirasai.

Begitu juga dengan hakim di mahkamah, peguam yang mengadili, siapa yang benar, siapa yang salah. Kadangkala, orang yang bersalah memenangi kes dek kerana kepandaian peguam memutarbelit fakta, menyembunyikan data. Boleh jadi juga yang benar dipersalahkan, kerana menegakkan yang hak, memberitahu yang benar, oleh kerana pihak yang berkuasa ingin menyembunyikan kebenaran.

Sejak dulu lagi kes seperti ini berlaku, sejak zaman Nabi Yusuf lagi. Bukankah sudah terang-terangan dan nyata? Siap difirmankan oleh Allah, bukan kisah rekaan semata-mata..


PERASAAN

Tipulah jika dikatakan tiada sebarang perasaan apabila menghadapi kekalahan. Saya akui, sememangnya diri ini berasa sedih amat atas kekalahan dalam perlawanan semalam. Emosi juga agak tidak stabil seketika. Alhamdulillah, perasaan sedih dan ketidakstabilan emosi itu berakhir selepas beberapa ketika, dengan tawa dan ceria kembali menghiasi wajah.


MATA MANUSIA vs PANDANGAN ALLAH

Semasa melayan emosi yang tidak stabil seketika itu, tiba-tiba tercetus di minda..

'Kesalahan yang dilakukan dalam gelanggang tadi, ada yang tidak dilihat oleh pengadil, tetapi, apakah kesalahan-kesalahan yang kita lakukan itu, tidak terlihat oleh pandangan Tuhan?'

Hmm,.. kita mungkin mampu melindungi kesalahan kita dari pandangan mata manusia yang terbatas.

- berpandangan jelek
- mengumpat
- mengata
- berkecil hati
- tidak solat
- berdating
- berpegangan tangan dengan pakwe/makwe
- dan lain-lain lagi


Tetapi mampukah kita menutupi kesalahan-kesalahan tersebut dari pandangan Allah? Yang Maha Melihat, Yang Maha Mengetahui?


PELAJAR DAN AYAM

Saya teringat satu kisah tentang tiga orang murid dan tiga ekor ayam yang saya dengar dari Radio Kedah. Tempatnya di sebuah sekolah pondok.

Tok Guru :
Setiap daripada kamu akan diberikan seekor ayam dan pisau. Sembelihlah ayam tersebut di mana-mana sahaja dengan syarat tiada yang melihat kamu.

Maka setiap mereka mencari-cari tempat yang tersembunyi untuk menyembelih ayam yang diberikan. Setelah masa yang diberikan berlalu, tok guru memanggil semula anak-anak muridnya.

Tok Guru :
Mat (murid 1) di mana kamu sembelih ayam tadi?

Mat : Di bawah pondok tok.

Tok Guru :
Ali (murid 2) di mana kamu sembelih ayam?

Ali : Di belakang pondok tok.

Tok Guru :
Abu (murid 3).. (memandang tajam kepada Abu)
Kenapa kamu tak sembelih ayam tu?

Abu : Saya dah pergi ke bawah pondok, tiada orang di sekeliling, tetapi, saya masih tidak boleh menyembelih ayam ni. Saya merasakan seperti ada yang melihat. Saya juga ke belakang pondok, tetapi, masih juga saya rasakan, Allah melihat saya. Tiada mana-mana tempat yang saya pergi yang tidak dapat dilihat oleh Allah. Saya tidak dapat memenuhi syarat, jadi saya
tidak menyembelih ayam ini.

(Saya terjumpa cerita yang lebih kurang sama di sini.)


ALLAH MAHA MELIHAT

"Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan."

(Surah Al-Baqarah : ayat 110)

Bismillahirrahmaanirrahiim. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberikan aku nafas untuk hidup di bumi ini. Maha Besar Dia yang menciptakan alam ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh aku, dan makhluk-makhluk lain ciptaanNya. Sungguh, nikmatNya yang mana lagi harus aku dustakan. Bukankah sudah terang-terangan Dia itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang? Sebanyak manapun dosa yang dilakukan, sebanyak manapun arahanNya yang diingkari, masih jua tidak pernah Dia abaikan penglihatanNya padaku. Masih sebanyak itu juga udara yang dibiarkan masuk ke dalam rongga pernafasanku. Tidak pernah tidak cukup makan pakai, rezeki yang telah dilimpahkan kepadaku, yang seringkali aku ingkari dengan perkara yang sia-sia… Ya Allah… Sesungguhnya hambaMu ini lemah amat. Tanpa bantuan daripadaMu, bagaimanalah diri ini harus menjalani hari-hari. Pun, dalam sedar aku acapkali lalai dan terleka.


Hari ini (hari tulisan ini ditulis) aku kecewa dengan diri. Kenapa? Tidak perlu aku kisahkan di sini. Apa yang penting adalah bagaimana harus aku perangi nafsu di dalam diri dan syaitan yang tidak pernah leka mengacau hidup aku ini. Aku selak buku ‘Bahtera Penyelamat’ yang ditulis oleh Fathi Yakan. Apakah aku masih boleh diselamatkan? Bagaimana harus aku lakukan untuk menyelamatkan diriku?




DARI MANA SYAITAN MENYELINAP?


Sabda Rasulullah saw,

Sesungguhnya syaitan itu meresap dalam diri anak Adam persis seperti mengalirnya darah dalam tubuhnya. (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)


Sebelum bisa aku perangi, aku harus tahu bagaimana sebenarnya syaitan ini menyelinap masuk ke dalam diriku.


1. Marah

Hmm.. Nafsu amarah ini memang sukar untuk dikawal. Kadangkala ia datang begitu sahaja menghancurkan benteng kesabaran. Kadangkala marah pada diri sendiri, mulalah merapu tidak tentu hala.. (T_T)


2. Nafsu syahwat

Nafsu syahwat merupakan pintu yang paling terdedah bagi syaitan menyelinap masuk ke dalam diri seseorang. Bukan nafsu syahwat berkaitan hubungan kelamin sahaja. Tapi awas!! Nafsu makan, berbelanja, tidur, dan lain-lain juga termasuk!! Huhu.. Nafsu makan itu sangat selalu aku layani. Nafsu tidur juga.. Nafsu berbelanja.. Allah… Macamana lah aku nak perangi dia kalau aku layan saja segala kata-katanya!!


3. Tergesa-gesa

Sabda Rasulullah saw, (Sifat) tergesa-gesa itu datangnya dari syaitan (manakala) cermat dan berhati-hati dari Allah Subhanahuwa Ta’ala.


4. Hasad Dengki


5. Kikir @ kedekut

Bila ada orang yang meminta pertolongan, acapkali akan dia sogokkan dengan kepentingan diri. Tidak perlu tolong, diri sendiri pun tak cukup makan. Elaun sendiri pun tak cukup, tak payah la bagi apa-apa kat dia ni. Seringgit tu boleh buat beli donut satu… (T_T)


6. Takabbur

Takabbur ini memang sudah sifatnya yang utama. Saat dia merasakan hebat, tidak perlu sujud kepada Adam, sehingga mengingkari arahan Allah.


7. Buruk sangka terhadap muslimin yang lain

Surah al-Hujurat, ayat 12: Wahai orang-orang yang beriman, hindarilah dari (sifat) banyak berprasangka. Kerana sebahagian dari sangka-sangka itu adalah dosa.




BAGAIMANA MENUTUP LALUAN SYAITAN??


Lantas bagaimana aku bias menutup laluan tempat ia selalu menyelinap masuk ke dalam diriku, membisikkan kata-kata yang membawa aku kepada kehancuran?


Allah telah berfirman dalam surah al-A’raf, ayat 201:

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila digerogoti oleh syaitan (cepat) sedar dan mereka menjadi lebih waspada (melihat tipu daya syaitan).


Dalam surah An-Nahl, ayat 97 pula, Allah berfirman:

Berlindunglah dengan Allah dari syaitan yang direjam.


Maka, langkah penting untuk menutup laluan yang membolehkan dia terus-terusan menghancurkan hidup kita adalah dengan bertaqwa kepada Allah, bermuraqabah dan sempurna ‘ibadah kepadaNya.


Aku begitu terkesan dengan ayat dari buku ini, Dusyum!! Kena sekali, DUsh!! Dush!! Kena lagi dua kali, banyak-banyak kali kena di muka sendiri.


‘Adapun orang-orang yang lalai dari mengingati Allah, terus-menerus berbuat maksiat, malas beribadat, yang asyik tidur dan menjadikan dunia ini sebagai cita-cita utamanya, mereka ini seperti alat mainan syaitan sahaja, diperlakukan menurut sesuka hatinya.’



DALAM GOLONGAN MANAKAH KITA??


Berkata Wahib bin Alwird, kami difahamkan bahawa pada suatu ketika iblis menjelma dan bertemu Yahya bin Zakaria ‘Alaihissalam. Ia berkata, “Saya hendak menasihati awak.” Yahya menjawab, “Aku tidak perlu nasihatmu! Tetapi cukup engkau terangkan kepadaku tentang hal anak-anak Adam ini!” Iblis menjawab, “Pada kami mereka ada tiga golongan.”


Golongan pertama ialah paling payah untuk kami tawan. Apabila digoda, mereka termakan godaan, tiba-tiba dia memohon ampun dan bertaubat. Bila diulangi lagi godaan, dia bertaubat dan beristighfar.


Golongan kedua pula adalah ‘ibarat bola yang menjadi permainan anak-anak kamu’, yang boleh diperlakukan apa sahaja menurut kehendak syaitan. Kata syaitan, mereka sudah beres menjadi tawanan kami. (Moga aku tidak termasuk dalam golongan ini. Kalau aku termasuk dalam golongan ini, maka sungguh, aku sedang menzalimi diri sendiri!! )


Golongan ketiga adalah golongan para nabi yang terpelihara dari dosa, yang syaitan tidak berday untuk berbuat apa-apa.



DOA MUHAMMAD BIN WASI’ (selepas solat Subuh)


Ya Allah Engkau telah mentaqdirkan kepada kami menghadapi musuh yang amat ‘arif kelemahan kami. Ia dan sekutu-sekutunya melihat kami dan kami tidak dapat melihat mereka. Ya Allah, Engkau jadikanlah ia putus asa untuk menggoda kami sepertimana ia berputus asa dari rahmatMu. Haramkan dia bagi kami sebagaimana Engkau mengharamkannya dari mendapat keampunanMu. Jauhkanlah kami darinya seperti mana Engkau jauhkan dia dari rahmatMu. Sesungguhnya Engkau berkuasa melakukan apa sahaja.



DIA BENAR-BENAR MUSUH YANG HARUS DIPERANGI!!


Dalam Surah Al-Fatir ayat 6, Allah telah berfirman:

Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu maka anggaplah ia benar-benar musuh. Sesungguhnya sekutu-sekutunya menyeru supaya mereka (dan kamu) menjadi penduduk neraka.


Sahabat-sahabat, aku ini insan biasa yang acapkali termakan juga dengan bisikan dan janji manis syaitan durjana ini. Ingatkanlah aku bila aku terleka. Maafkanlah aku atas khilaf dan salahku. Bantulah aku untuk memerangi dia yang tidak pernah mahu lekang dari menggoda aku ini…


Bicara buat diri, kuatkanlah azam dan semangatmu! Tingkatkan zikrullah, dan banyakkan mengingati Allah, kerana saat dikau alpa dari mengingatinya, dengan pantas syaitan akan menyusup masuk dan menggoda lagi…


SUMBER:

Fathi Yakan, Edisi Baru 2007, BAHTERA PENYELAMAT, Selangor: Dewan Pustaka Fajar