Assalamualaikum wbt...

Bismillahirrahmaanirrahiim. Syukur pada Allah, hari ini saya berpeluang untuk menghirup udara segar pinjaman dariNya untuk saya meneruskan kehidupan di muka bumi yang sementara ini. Lama tidak menulis, kekok pula rasanya kali ini. Banyak perkara yang telah berlalu, banyak juga yang ingin diungkapkan. Tapi, virus 'M' yang melanda, ditambah dengan pengurusan masa yang kurang berkesan menyebabkan perkara-perkara itu berlalu begitu sahaja tanpa dicatat di blog ini. Biarpun perkara-perkara itu telah berlalu, namun saya masih ingin mencatatnya di sini.

26 Mac 2010

Usai sesi persekolahan jam 12.05 tengahari, saya bergegas ke CIMB Bank, menguruskan perihal kad bank yang sudah tidak aktif dan mengeluarkan gaji pertama saya, bekal untuk ke KL pada petang ini. Sambil menunggu giliran (wang perlu dikeluarkan secara manual di kaunter kerana kad bermasalah), saya tidak berhenti mengucapkan zikir, moga segalanya dipermudahkan. Takut juga saya, keseorangan memandu ke Kuala Lumpur buat pertama kali. Mengikut perkiraan, dalam 2 jam, saya sudah boleh tiba ke Kuala Lumpur, jika tiada apa-apa halangan. Sambil menunggu, mata acapkali singgah pada jam yang tergantung di dinding. Alhamdulillah, saya tidak menunggu lama. Jam 1.15 petang, saya sudah boleh memulakan perjalanan. Oleh kerana saya berada di pekan Tapah, saya terus ke Bidor dan memilih untuk memandu mengikut Lebuhraya melalui Tol Bidor.



Oh ya, tujuan utama saya pada hari ini sebenarnya bukan Pesta Buku Antarabangsa yang akan berakhir pada 29 Mac, tetapi sebenarnya untuk memulangkan jubah konvokesyen di Kampus Induk OUM, Kuala Lumpur. Saya memandu tenang-tenang sahaja (pada perkiraan sayalah). Kereta Kancil saya bukan boleh pecut sampai 160 km/j. Saya tenang-tenangkan diri sambil mendengar radio IKIM.fm yang menemani perjalanan.

Jam 2.15 petang, saya singgah untuk solat Zohor di Hentian Sebelah Ulu Bernam. Pada perkiraan saya, tidak lama lagi sampailah saya ke Kuala Lumpur. Saya masih punya masa lebih kurang 2 jam 45 minit sebelum jam 5.00 petang. Urusan Allah lebih penting untuk disegerakan. Mudah-mudahan, Allah akan permudahkan urusan saya. Biar hati lebih tenang...

Jam 2.45 petang saya meneruskan perjalanan. Saya berkira-kira dalam hati, sama ada keluar ikut Tol Sg Buluh atau keluar ikut Tol Rawang dan ambil komuter terus ke Stesen Putra (terus sampai ke destinasi). Setelah berkira-kira, saya memilih susur keluar Tol Rawang, berpandukan arahan Am (classmate OUM-PJ yang menetap di Rawang). Alhamdulillah, syukur kerana Allah sekali lagi memudahkan urusan saya. Saya tidak sesat sebagaimana selalu bila saya pertama kali ke sesuatu tempat. Walaupun sedikit tersasar dari jalan biasa ke Stesen Komuter Rawang, saya masih lagi boleh terus ke jalan kedua. Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa agar saya sempat sampai ke Kampus Induk OUM sebelum pejabat ditutup.

Saya tiba di Stesen Komuter Rawang pada jam 3.15 petang. Walaubagaimanapun, hati saya diruntun ketakutan bila saja mengetahui tren akan tiba jam 4.15 petang. Ya Allah.. sempatkah??? Hati saya tidak putus-putus berdoa dan terus berdoa... Kalau tidak dapat dipulangkan hari ini, bila lagi dapat saya pulangkan... Tarikh akhir pemulangan jubah pada 29 Mac 2010, Isnin. Takkanlah saya mahu mengambil cuti semata-mata untuk memulangkan jubah... Ya Allah, sempatkanlah... sempatkanlah...

Alhamdulillah, komuter tiba tepat pada waktunya. Kata Am, perjalanan ke stesen Putra tidak mengambil masa yang terlalu lama. Hanya melepasi beberapa stesen. Hati saya sedikit ria, masa masih ada yang berbaki. 45 minit. Jika tren hanya mengambil masa 15 minit, saya ada masa 30 minit sebelum jam 5.00 petang. Tetapi, jangkaan tersebut meleset. Tren mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke Stesen Putra selepas melalui beberapa stesen, antaranya Stesen Kuang, Stesen Sg Buloh, Stesen Segambut, Stesen Kepong Central dan Stesen Kepong. Dalam tren, saya tidak berhenti berdoa moga Allah memberi kesempatan untuk saya menyelesaikan urusan di OUM.

Lebih kurang jam 4.45 petang, saya tiba di Stesen Putra. Saya bergegas ke Kampus Induk OUM dengan berjalan kaki, seorang diri. Saya buang ketakutan. Saya berjalan sepantas yang boleh. Alhamdulillah, saya biasa berjalan laju, pakai pula kasut flat, tidaklah sakit kaki. Ya Allah, jauh lagi ke nak berjalan ni.. Sambil berjalan, mata saya tidak henti mengerling jam di tangan. Ya Allah, sempatkanlah.... sempatkanlah....

Peluh bercucuran. Langkah terus dihayun, semakin laju. Kalau tidak memikirkan malu, mahu saja saya berlari ke sana. (T_T) Akhirnya, dengan izin Allah jua, jam 4.59 petang, saya tiba di Kaunter Pertanyaan. Terus menyatakan tujuan, borang PA saya diambil, dicop... 'APPROVED'. Alhamdulillah... Ya Allah.. terima kasih ya Allah... Saya meneruskan urusan pemulangan jubah di tingkat 2, terus ke Jabatan Penilaian dan Peperiksaan untuk mengambil transkrip penuh. Usai saja saya menandatangani borang pengambilan transkrip, kaunter ditutup... Ya Allah... Ya Allah... betapa leganya hati saya, urusan utama telah saya selesaikan... Belakang jubah saya basah dek peluh. Tudung saya juga basah. Saat melangkahkan kaki keluar dari pagar OUM, sempat pengawal mengingatkan, "Jalan baik-baik ye." Saya senyum, mengucapkan terima kasih atas ingatan. Di luar, saya lihat ada papan tanda mengingatkan agar berhati-hati kerana kawasan tersebut pernah berlaku kejadian kecurian. Ya Allah, peliharalah hambaMu ini.. Alhamdulillah, urusan selesai. Saya berjalan berlahan-lahan untuk ke destinasi seterusnya, PWTC yang terletak berhampiran. Sambil berjalan, saya telefon mak, memaklumkan bahawa segalanya telah selesai. Alhamdulillah.. Hati saya tersenyum.

PBAKL @ PWTC

Destinasi saya yang kedua setelah pemulangan jubah konvokesyen adalah PWTC, tempat berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa 2010. Saya tidak sempat menyenaraikan buku-buku yang hendak dibeli sebelum ini. Hanya ada sebuah buku yang ingin sangat saya beli di PBAKL kali ini, 'BAHLUT' karya Faisal Tehrani yang baru dilancarkan pada awal PBAKL 2010. Buku ini mengisahkan tentang Bahlut, seorang anak yatim keturunan Orang Asli, dari sebuah perkampungan Orang Asli di Pahang. Bahlut meninggalkan kampungnya yang menyimpan duka, dan meneruskan perjuangan di Kuala Lumpur berbekalkan bakat semulajadi yang ada pada dirinya, perenheg (pecut). Bahlut boleh berlari laju. Turut diceritakan tentang situasi cikgu Zaiful, guru yang bertanggungjawab membawa Bahlut keluar. Saya sangat ingin memiliki buku ini untuk saya ambil kisah dan pengajarannya, buat bekalan saya di SK Batu Tujuh. Saya ingin mencari Bahlut saya sendiri. Saya ingin melakukan sesuatu di sekolah ini. Saya ingin mendekati masyarakat Orang Asli di sini. Saya sudah jatuh cinta dengan murid-murid saya... Saya tidak ingin meninggalkan tempat ini, selagi saya belum melakukan sesuatu di sini, semestinya dengan izin Allah jua... Banyak pula bercakap soal ini, lari sedikit dari topik asal... (^_^)

Berbalik kepada topik asal, PBAKL 2010. Dari Kampus Induk OUM, saya berjalan perlahan, menyusur laluan pejalan kaki yang berbumbung. Langit biru sudah hampir kelabu seluruhnya. Tompok-tompok awan mula kelihatan memberat. Orang ramai lalu lalang sambil menjinjit beg kertas atau beg plastik dari pelbagai penerbit-penerbit buku. Hati teruja. Tidak sabar mahu sampai ke PWTC.

Lebih kurang 15 minit berjalan, saya tiba di tingkat bawah PWTC. Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahiim, saya betulkan niat. Moga-moga wang yang akan saya alirkan di PBAKL ini mendapat keberkatan dari Allah, bukan untuk perkara yang sia-sia. Fokus saya untuk mencari buku-buku untuk pengisian rohani, bacaan-bacaan ringan Islamik, juga buku kanak-kanak untuk adik Muzakkir, sepupu dan murid-murid saya.

Terujanya bila sudah masuk. Mulalah rambang mata memilih buku. Dalam masa 2 jam yang saya peruntukkan, saya perlu cepat memilih dan membayar. Maklumlah, orang berpusu-pusu, sangat ramai. Kalau lambat, nanti takut lewat sangat mahu memandu pulang ke Tapah.

Awal-awal lagi saya berjumpa booth Galeri Ilmu. Saya teringat untuk membeli buku Ustaz Hasrizal, Pn Hjh Rohani (tentang kewangan) dan novel untuk kanak-kanak. Saya tidak singgah dahulu, kerana saya tahu, saya bakal membeli banyak buku di sini. Saya terus ke kaunter utama, mengambil risalah tentang kedudukan booth-booth penerbit, mengambil masa sedikit untuk mencari kedudukan booth al-Ameen Books, penerbit 'Bahlut' dan beberapa penerbit lagi. Sambil-sambil mengawasi masa, saya berjalan menuju ke tingkat dua. Alhamdulillah, petugas banyak membantu. Dengan mudah, saya dapat mencari booth al-Ameen Books.

Novel Bahlut yang dicari-cari menampakkan wajahnya. Terbayang murid-murid di SKBT..


Terujanya bila nampak novel 'Bahlut' yang saya cari-cari. Senyum berbunga. Saya terus capai 'Bahlut', pegang erat, sambil-sambil membelek buku lain keluaran al-Ameen Books. Akhirnya, saya beli lagi dua buah buku, 'Karya nan Indah' oleh Faisal Tehrani dan set Baca Cepat untuk saya gunakan di sekolah dan di rumah semasa cuti (untuk mengajar sepupu-sepapat yang baru nak belajar membaca).

Seterusnya, saya berlegar-legar dari booth ke booth. Tiba di booth MAPIM, mata saya tertancap pada sebuah buku bertajuk 'Kenali Kami Masyarakat Orang Asli di Malaysia' terbitan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn. Saya apa lagi, bagai pucuk dicita, ulam mendatang, terus mengambil buku, bertanyakan harga dan membayar di kaunter. Ia bagai bonus untuk saya. Dalam saya tercari-cari sumber-sumber untuk lebih mengenali masyarakat Orang Asli, Allah temukan saya dengan buku ini, selain 'Bahlut'. Moga saya lebih mengenali mereka selepas ini. Tak kenal maka tak cinta. Saya ingin lebih mengenali mereka, agar saya lebih mencintai mereka. Mereka juga masyarakat Malaysia. Namun, sedikit sekali yang berbicara tentang mereka (mungkin saya belum berjumpa). Dalam buku teks Pendidikan Moral pun tidak ada tentang mereka. Mereka mad'u saya. Saya perlu lebih mengenali mereka untuk menyampaikan dakwah kepada mereka. Moga Allah membantu saya untuk memperbaiki diri dan terus kuat untuk meneruskan azam saya di sini.

Selesai urusan pembayaran di kaunter MAPIM, saya berlegar-legar lagi sebelum turun ke tingkat bawah. Dalam hati terdetik, dalam ramai-ramai orang ni, agak-agak ada ke nak jumpa dengan sesiapa yang dikenali ya...

Bersama Fatin dan rakan-rakannya. Jauh bertemu di KL, Ipoh-Tapah bukan jauh sangat...


Tidak lama, saya bertemu dengan Fatin dan rakan-rakan dari IPGM Kampus Ipoh yang saya rindui. Kiri kanan tangan Fatin penuh dengan buku. Kata Fatin sambil tersenyum, "ni semua kiriman dari kawan-kawan". Baguslah Fatin. Fatin lebih bertekad dari saya. Mereka ke Kuala Lumpur menaiki bas. Malam ini tidur di 'mana-mana' yang ada, kerana esoknya ada perjumpaan dengan seorang teman. Wah, terkejut juga saya. Sanggup mereka datang ke Kuala Lumpur tanpa merancang di mana untuk menginap. Hmm,. tekad, bulat hati. Moga Allah pelihara kalian. Saya tinggalkan mereka dengan do'a agar segalanya dipermudahkan Allah.

Saya jalan-jalan lagi. Jam hampir menunjukkan pukul 6.45 petang. Saya sudah berkira-kira untuk pulang. Tetapi, bunyi hujan di luar seakan sangat lebat. Saya turun ke booth Galeri Ilmu. Terus memilih buku-buku yang tercetus di minda sebelum ini. Main taram saja. Saya ambil dua buah buku Ustaz Hasrizal, 'Murabbi Cinta' dan 'Secangkir Teh Pengubat Letih', 'Ke Mana Wang Anda?' tulisan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir, Majalah Anis dan beberapa buah novel kanak-kanak.

Antara novel kanak-kanak yang ada di gerai Galeri Ilmu. Untuk bacaan kanak-kanak dan dewasa.



Teruja tengok adik berdua ini dilatih membayar buku yang menjadi idaman hati. Kecil-kecil rajin membaca, dah besar nanti rajin membaca juga ya..


Sambil memilih buku, saya menangkap imej seseorang yang saya kenali, 4 tahun lalu, 4 tahun tidak bertemu, akhirnya kami dipertemukan olehNya di sini. Aishah. Begitu nama pemilik wajah manis penuh senyuman. Di sisinya sebuah beg besar berisi buku-buku. Banyak betul buku yang Aishah beli. Saya tersenyum. Aishah tersenyum. Kami berbalas salam dan berpeluk erat, maklumlah, sudah 4 tahun tidak bersua muka, semasa Majlis Konvokesyen pun, kami tidak berjumpa. Alhamdulillah. Saya dipertemukan dengan Aishah di PWTC yang saya jejaki setahun sekali ini. Ya Allah, indahnya ukhuwwah. Walaupun lama tidak berjumpa, ingatan terhadap kenangan kami kekal ada. Indahnya ukhuwwah semasa di IPIS dulu, tidak akan pernah saya lupakan, InsyaAllah, dengan izin Allah.

Along dan Aishah. Pertemuan setelah 4 tahun berlalu.
Pahang-Tapah (terpisah oleh Cameron Highlands)

Kami berbual seketika, bertanya khabar terbaru selepas bergelar guru dan ustazah(Aishah mengambil kursus Pengajian Islam dan mengajar Pendidikan Islam di sekolah). Aishah kini di Pahang, tidak dekat dengan rumah, 'merempit' ke sekolah. Saya kira dalam soal ini saya beruntung kerana boleh memandu kereta Kancil yang abah belikan. Walaupun kecil, saya boleh bergerak ke sana sini tanpa risau soal cuaca hujan, atau diragut dihimpit di tengah jalan.

Kami berjanji untuk pulang bersama, menaiki tren. Sebelum pulang, Aishah membawa saya ke booth PTS Publications. Aishah memberikan saya kupon diskaun yang diperolehinya sebelum ini. Apa lagi, saya borong beberapa buah buku dan komik-M. Antaranya, novel 'Sultan Muhammad al-Fateh', set novel Lasykar Pelangi dan siri-sirinya, komik Misi 8A (komik motivasi yang diperkenalkan oleh seorang ustaz), komik Takaza dan beberapa siri komik dan novel kanak-kanak untuk bacaan murid-murid dan sepupu-sepapat semasa cuti nanti. Terima kasih Aishah. Budi nti tak dapat ana balas. Diskaun 25% bagi setiap buku. Sangat banyak yang dapat dijimatkan.

Akhirnya, lebih kurang jam 8.00 malam, kami gagahi juga berjalan meredah hujan ke Stesen Komuter Putra. Di situ, kami berpisah dengan senyuman, moga akan adanya pertemuan lain selepas ini. Aishah menaiki komuter ke Stesen UKM, untuk menginap di IPIS sebelum menghadiri seminar di UIAM Gombak keesokan harinya, saya pula menaiki komuter ke Rawang. Alhamdulillah, tren tiba tepat pada masanya. Walaupun orang ramai, masih ada ruang untuk saya berdiri dengan selesa, tidaklah terhimpit dengan manusia-manusia berlainan jantina yang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah masing-masing setelah seharian bekerja.

Jam 8.45 malam, saya sampai ke Stesen Komuter Rawang. Sekali lagi saya menelefon Am untuk bertanyakan arah ke Plaza Tol Rawang. Dengan panduan mudah dari Am, dan dengan bantuan Allah semestinya, cepat saja saya temui Plaza Tol Rawang. Mengingatkan diri yang sudah berniat untuk solat Jama' Ta'khir, saya singgah di Hentian Rehat Rawang. Biar selesai urusan dengan Allah. Waktu sudah semakin malam. Sudah jam 9 lebih ketika itu. Sekali lagi indahnya aturan yang Allah tetapkan. Saya merancang seperti ini, seperti ini, tetapi perancangan Allah itu lebih baik, dan pastinya yang terbaik. Saya dipertemukan oleh Allah dengan dua orang sahabat, Irah dan Izyan. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah sewa di Behrang. Kami jarang berjumpa. Namun, ikatan ukhuwwah islamiyyah yang berlandaskan kepada keimanan kepada Allah (InsyaAllah) menyebabkan kami tidak kekok untuk bersama. Saya mengambil keputusan untuk tidur di rumah mereka sebelum pulang ke Tapah untuk menghadiri Latihan dalam Perkhidmatan di sekolah pada keesokan harinya.

Alhamdulillah, urusan saya pada sepanjang hari ini dapat diselesaikan dengan bantuan Allah yang tidak disangka-sangka. Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Saya teramat rindu pada sahabat-sahabat di IPGM Kampus Ipoh. Saya rindu untuk bergerak kerja, saya rindu untuk menyibukkan diri dengan Biro Agama dan Kerohanian, saya rindu bermalam bersama, makan bersama dan berqiamullail bersama sahabat-sahabat. Saya dipertemukan oleh Allah dengan sahabat-sahabat dari dalam dan luar IPGM Kampus Ipoh. Saya anggap ia sebagai hadiah dari Allah. Alhamdulillah, pada keesokan harinya, saya berpeluang solat Subuh berjemaah bersama Irah, Izyan dan sahabat-sahabat yang lain. Saya diberi peluang oleh Allah untuk 'refresh' dan 'regenerate' (biar hanya saya yang tahu maksudnya). Terima kasih Ya Allah atas kurniaanMu... Sesungguhnya Engkau Maha Tahu akan keperluan hambaMu.

Ya Allah, tetapkanlah aku dalam ketaatan kepadaMu. Janganlah Engkau palingkan hatiku setelah Engkau berikan ia hidayah, Ya Allah. Tetapkanlah aku dalam perjuangan menegakkan agamaMu. Kurniakanlah kekuatan untuk aku menempuhi mihnah dan cabaran Ya Allah...
Rabbana aatina fiddunya hasanah, wafil aakhirati hasanah, waqina 'azaabannar.. Semoga sehari yang kulalui itu dikurniakan keberkatan olehMu Ya Allah, dan semoga hari-hari dalam hidupku juga sentiasa dikurniakan dengan keberkatan olehMu Ya Allah, kerana segalanya jadi sia-sia, tanpa redha daripadaMU....

Sekian dulu perkongsian pada kali ini. Kisah biasa seorang insan biasa. Sekadar perkongsian untuk yang sudi membaca. Moga beroleh sesuatu yang bermanfaat. Sebelum bersurai, sedikit moral of the story untuk ingatan saya dan pembaca semua::

  1. Merancanglah dengan berkesan. (Merujuk kepada tindakan ke KL tanpa tahu jalan yang betul)
  2. Lain kali kalau nak ke Pesta Buku Antarabangsa, survey dulu buku yang nak dibeli, siapa penerbit dan bajet yang diperuntukkan. (supaya tak menyesal, bila dah sampai rumah baru teringat, ala, sayangnya tak beli buku ni, sayangnya tak jumpa buku tu..)
  3. Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah swt dan berharap hanya padaNya.
  4. Seelok-eloknya jangan berjalan berseorangan. Memang tawakkal kepada Allah. Tetapi, usaha perlu ada juga untuk mencari teman, sebagai persediaan menghadapi perkara-perkara yang tidak diduga. (Ingatan untuk diri yang suka benar berseorangan). Ingatlah, kambing yang berseorangan itu lebih senang diterkam berbanding kambing yang berada dalam kelompoknya.
  5. Tetapi, adakalanya, bila berseorangan bergelandangan, kembara di bumi Allah, hati akan berasa sangat dekat denganNya, kerana kita hanya mengharap kepada Allah. Kita akan berharap pada bantuan dan jagaan Allah.
  6. Berukhuwwah kerana Allah, kerana yang menjaga hati-hati adalah Allah, dan yang mengikat hati-hati juga adalah Allah.
Akhir kalam, moga perkongsian ini ada faedahnya untuk manfaat bersama.

____________________________________________________________________

p/s:: Sedekahkan Al-Fatihah buat ayah Nadia (sahabat PISMK-OUM PJ) yang meninggal dunia pada 4 April yang lalu. Moga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah:

Maksudnya: “Katakanlah: Sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumu’ah:8)

Masanya telah ditetapkan. Sedar atau tidak, sesaat yang kita lalui, mendekatkan kita dengan kematian kita sendiri.. Allah.. Sebanyak mana kita mengingati mati???

(gambar akan dimuat naik kemudian..)
0 Responses

Catat Ulasan