Assalamualaikum wbt...

Bismillahirrahmaanirrahiim. Syukur pada Allah, hari ini saya berpeluang untuk menghirup udara segar pinjaman dariNya untuk saya meneruskan kehidupan di muka bumi yang sementara ini. Lama tidak menulis, kekok pula rasanya kali ini. Banyak perkara yang telah berlalu, banyak juga yang ingin diungkapkan. Tapi, virus 'M' yang melanda, ditambah dengan pengurusan masa yang kurang berkesan menyebabkan perkara-perkara itu berlalu begitu sahaja tanpa dicatat di blog ini. Biarpun perkara-perkara itu telah berlalu, namun saya masih ingin mencatatnya di sini.

26 Mac 2010

Usai sesi persekolahan jam 12.05 tengahari, saya bergegas ke CIMB Bank, menguruskan perihal kad bank yang sudah tidak aktif dan mengeluarkan gaji pertama saya, bekal untuk ke KL pada petang ini. Sambil menunggu giliran (wang perlu dikeluarkan secara manual di kaunter kerana kad bermasalah), saya tidak berhenti mengucapkan zikir, moga segalanya dipermudahkan. Takut juga saya, keseorangan memandu ke Kuala Lumpur buat pertama kali. Mengikut perkiraan, dalam 2 jam, saya sudah boleh tiba ke Kuala Lumpur, jika tiada apa-apa halangan. Sambil menunggu, mata acapkali singgah pada jam yang tergantung di dinding. Alhamdulillah, saya tidak menunggu lama. Jam 1.15 petang, saya sudah boleh memulakan perjalanan. Oleh kerana saya berada di pekan Tapah, saya terus ke Bidor dan memilih untuk memandu mengikut Lebuhraya melalui Tol Bidor.