Bismillahirrahmaanirrahim...

Semalam, dengan berat hati (lantaran seminggu di rumah bersama keluarga terchenta) saya tinggalkan juga Kampung Air Puteh. Saya bertolak dari rumah pada jam 4.20 petang, selepas berhempas pulas dengan perasaan. Sepanjang perjalanan ke rumah Erma pun saya masih sibuk mententeramkan hati dan perasaan yang sedang berkecamuk.

Perjalanan ke rumah Erma selalunya hanya mengambil masa sekitar 45 minit. Saya harus melalui Tol Bandar Baharu, keluar Tol Bukit Merah dan melalui jalan Bukit Putus untuk ke rumah Erma di Taman Juta. Lantaran hati yang berkecamuk, semasa keluar dari Tol Bukit Merah, saya membelok ke kanan, melihatkan papan tanda arah ke Bagan Serai dan Simpang Empat mengarah ke kiri (kalau ke Bagan Serai, maknanya terus ke Parit Buntar). Selepas beberapa ketika, saya dapati pemandangan di sepanjang jalan yang dilalui begitu asing. Memanglah minggu lepas semasa balik bersama Erma dan Aishah, saya tidak melalui jalan ini, agaknya dah lebih sebulan tak lalu ikut jalan Bukit Putus tu, jadi pada fikiran saya, mungkin jalan yang betul kot.

Apa yang menghairankan saya lagi, apabila Bukit Merah Laketown ada di sebelah kanan saya selepas beberapa ketika memandu. Kata saya kepada diri, "Aduhai, selama ini tak perasan pula kat jalan ni rupanya kalau nak ke Laketown."

Saya meneruskan perjalanan. Mata mengerling jam di dashboard kereta, 5.00 petang. Waktu Asar sudah masuk. "Lepas ni singgah solat dulu kalau jumpa masjid." Beberapa minit kemudian, saya jumpa sebuah masjid yang agak besar. Masjid Jamek Panchor. Kalau tidak silap, itulah namanya. Semasa saya sampai di situ, anak-anak kecil dari sekolah agama pun sedang bergegas ke masjid untuk menunaikan solat jemaah. Saya agak malu la jugak, sebab anak-anak kecil ni pandang semacam je.. Mungkin sebelum ni mereka tak pernah jumpa dengan orang luar yang datang solat kat masjid tu kot.. huhu..

Usai solat, saya teruskan perjalanan. Saya semakin tidak sedap hati. Kenapalah pemandangannya ni lain macam sangat? Ada padang hijau yang berpagar di sebelah kanan. Risau juga. Sekilas meter minyak dipandang.. "Banyak lagi.." (Kalau sesat, tak la risau sangat sebab masih boleh jalan lagi, tak payah nak risau tak jumpa stesen minyak).

Tidak lama kemudian, ada pula Salur Limpah Selatan, sebuah empang air kalau tidak salah saya. Masa ni, memang sah saya sesat. Memang tak pernah lalu ikut jalan ni. Hati dah mula tak tentu arah. Tapi, sabar..sabar.. senang je, patah balik ke tempat asal.. Jalan yang dilalui agak sempit, dengan keadaan yang bengkang-bengkok. Saya tidak jumpa jalan yang sedikit luas untuk saya buat pusingan U.

Tiba-tiba, (macam saspens pulak,.. ) saya dapati di kanan saya ada tasik yang sangat mendamaikan. Tiupan angin yang sederhana memasuki ruang kereta melalui tingkap yang dibuka. Luas betul.. tak pasti pula sama ada tasik ke atau apa.. Sebab memang terkejut, tengah-tengah hutan, ada pula tasik besar macam ni.. Tak lama kemudian, baru saya tahu tempat ini namanya Lembah Beriah. (Tapi kalau silap tak tau la pulak)

Kereta saya perlahankan, pemandangan yang mengasyikkan itu mengingatkan saya pada tepian pantai yang amat menenangkan jiwa. SUBHANALLAH!! Dalam keluh kesah saya, Dia arahkan saya ke sini. Menemukan saya dengan tempat mendamaikan sebegini. Hati jadi insaf.. DIA boleh memberi petunjuk dalam pelbagai cara. Lembah ini salah satu bukti kebesaranNYA. Dalam hati yang berkecamuk, saya ditenangkan dengan keindahan ciptaanNYA. Tidak lama selepas itu, jumpa pula saya dengan tempat untuk saya berpatah balik ke tempat asal. Alhamdulillah..

Sepanjang perjalanan ke jalan yang sebenarnya, saya menginsafi beberapa perkara di sebalik kesesatan ini..
  • Kita mungkin tersesat dalam kembara hidup ini, mungkin sekali, atau mungkin berkali-kali, tetapi, mohonlah agar kita tidak terus tersesat. Mungkin di sebalik kesilapan, kita akan dipertemukan dengan sesuatu yang indah dan berharga, sebagai bekal di sepanjang perjalanan yang mendatang. Sebagaimana setiap kali sesat, saya menemui jalan baru yang boleh dilalui pada masa akan datang.
  • Allah sentiasa tahu akan keperluan hambaNYA, cuma kita yang kadangkala lupa akan DIA.. Kesesatan ini bagi saya suatu nikmat, yang diberikan olehNYA kepada saya, lantaran itulah keperluan saya pada masa hati yang sedang berkecamuk resah. Terima kasih YA ALLAH..
  • Saya mohon agar ALLAH tidak meletakkan saya dalam kesesatan hidup, tanpa dapat mencari jalan kembali kepadaNYA. Na'udzubillah.. Kesesatan itu lebih menakutkan berbanding sesat sementara secara fizikal.
  • Andai tiba-tiba tersilap memilih jalan, dalam perjalanan hidup kita menuju matlamat hidup yang sebenarnya, carilah jalan agar kita dapat kembali ke jalan yang benar, walau jalan baru itu menjanjikan keindahan yang tiada tara.
Setelah beberapa lama, saya temui jalan yang seharusnya saya lalui. Saya melalui jalan bengkang-bengkok yang betul, dan saya temui jalan Bukit Putus. Jalan ini mungkin dinamakan Bukit Putus sebab jalannya dibina di tengah-tengah bukit (kira orang yang buat jalan ni dulu potong tengah bukit untuk dibuat jalan). Masa lalu kat sini, apa yang menarik adalah suasana nyamannya,maklumlah jalannya sempit dengan pokok-pokok hutan di kiri dan kanan jalan. Walaupun sekejap je melalaui jalan ni, tapi kesegaran dan keunikannya mempesonakan.. Heheh.. Promosi sikit.. Kalau ada sesiapa nak melalui jalan ni, bolehlah ikut Along balik kampung. Kalau nak merasai kelainan, naiklah bas merah Taiping-Parit Buntar. Betul tak Diyana, Erma n Nora? =)

Akhir kata, sesat suatu nikmat, Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Moga tidak disesatkan tanpa bertemu jalan pulang. Yang paling penting.. kumohon padaMu Ya Allah, agar dilindungi dari kesesatan yang nyata.. Amiin..Amiin Ya Rabbal 'Alamiin..

P/s
#Erm,.. lepas ni, nak bagi cadangan kat pak-pak sedara ajak memancing di tepi tasik yang baru saya jumpa tu.. Sebab masa sesat tu, nampak ramai jugak orang yang sedang memancing.
Salam.. Entri pertama untuk blog ini. Sememangnya, diri ini bukanlah seorang yang begitu arif tentang blog. Begitu juga dengan bidang penulisan yang tidak boleh dipisahkan dengan blog. Walaubagaimanapun, kecerdasan pelbagai boleh dipertingkatkan. Apa salahnya jika saya mencuba membangunkan kecerdasan linguistik agar setara dengan kecerdasan visual-ruang dan kinestetik saya. =)

Untuk permulaan, blog ini mungkin tidak mempunyai sebarang tema. Kewujudannya adalah sebagai menyahut arus teknologi semasa, selain berkongsi idea dan cerita. Moga kewujudan blog ini dapat menjalinkan ikatan ukhuwwah sesama blogger , rakan dan taulan. Akhir kata, salam ukhuwwah penuh mahabbah buat semua.