Saya dahaga, saya rindu... Saya dahagakan upaya diri dalam membaca bahan-bahan berat. Saya rindukan saat diri begitu teruja dengan novel-novel sastera Faisal Tehrani dan Nisah Haji Haron yang mencabar daya fikir untuk memahami, yang menambah kosa kata dan keindahan dalam berbicara. Terasa mata segar, otak juga segar. Daya membaca saya kini tidak secergas dulu. Mengapa? Persoalan yang saya biarkan merasuki fikiran sendiri.

Beberapa hari lalu saya menonton temubual Malaysia Hari Ini dengan Saudara Faisal Tehrani melalui 'Youtube'. Antara yang lekat di fikiran saya, yang menyebabkan saya terdiam, adalah apabila Faisal menceritakan tentang pertemuannya dengan Pak Samad di Masjid Negara, ketika dia mula-mula mahu menulis.

Lima perkara yang digariskan oleh Pak Samad,
Pertama : membaca
Kedua : membaca
Ketiga : membaca
Keempat : membaca
Kelima : menulis

Begitu pentingnya membaca sebelum kita melontarkan idea.. Hm.. Sebenarnya bukanlah sesuatu yang menghairankan, bukankah ayat pertama yang Allah turunkan adalah Iqra'? Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhanmu...

Kebelakangan ini, saya lebih banyak membeli buku daripada membaca buku. Buku yang dibeli pula terdiri daripada pelbagai genre; ada sastera, motivasi dan agama. Saya terkenang teguran seorang rakan, kalau mahu membaca, spesifikkan genrenya agar tidak berkecamuk. Nasihat itu masih saya ingat hingga kini, cuma aplikasinya, jarang saya amalkan dek kerana keghairahan mengumpul buku-buku yang dirasakan menarik.

Deretan buku-buku yang tersusun kemas di dalam rak di asrama dan di rumah begitu sepi menanti belaian lembut jari-jemari saya, juga merindukan sorotan mata saya yang memandang mesra aksara-aksara yang menyimpan sejuta makna. Apakah saya tega membiarkan mereka terus sepi?? Sayalah yang sepi tanpa mereka...

Saya menulis di blog ini pada awal tahun 2009 yang lalu. Sebagaimana yang pernah saya katakan di awal penulisan, blog ini adalah tempat percubaan saya untuk membangunkan kecerdasan verbal-linguistik saya. Pun, ia tidak seharusnya menjadi percubaan tanpa asas dan pegangan. Kelesuan dalam membaca turut memberi kesan kepada penulisan saya. Sedikit demi sedikit, bahasa yang saya gunakan dalam penulisan di blog ini mula berubah, daripada menggunakan bahasa standard, menambah simbol di akhir ayat, dan akhirnya menggunakan bahasa harian.

Bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk menulis dalam bahasa yang tidak formal, tetapi kalau bukan kita yang berbangsa Melayu ini yang berbicara dengan keindahan berbahasa, siapa lagi? Setiap penulisan itu juga akan menggambarkan diri sebenar penulis tanpa sedar. Justeru, saya ingin mengambil masa, mencari sedikit ruang yang boleh saya manfaatkan dalam mencari kembali jati diri yang hilang. Bukan sekadar tentang membaca, tetapi juga 'diri sendiri' yang seolah-olah hilang ditelan arus globalisasi.

Mata saya sudah letih menatap hidangan-hidangan 'hedonisme'. Saya juga insan biasa yang tidak pernah lari dari berbuat kesilapan. Saya juga selalu terjatuh ke lembah yang dalam, cuba mendaki dan sering gagal lagi.. Namun, apakah saya tega membiarkan diri kehausan dan kesakitan dalam jurang yang dalam ini? Hanya saya yang dapat mengubah diri saya, bukan orang lain...

Saya lontarkan tanda tanya kepada diri,.. Bilakah bisa kembali???