Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alhamdulillah, hari ini dapat menggunakan sedikit masa yang ada untuk mencoretkan sesuatu di sini. Lama menyepi untuk menumpukan kepada praktikum terakhir yang sedang dijalani. Pun begitu, masih banyak lagi kerja-kerja praktikum yang bersisa, mohon perhatian untuk dikemas kinikan. Begitu juga dengan tuntutan-tuntutan semasa. Sungguhlah praktikum ini medan amali, medan mempraktikkan segalanya. Bukan sahaja medan praktik ilmu pedagogi yang telah dipelajari, tetapi lebih kepada intro atau mukaddimah, bagaimana kita bisa berdepan dengan situasi sebenar medan perjuangan.

Saya berpraktikum di sekolah yang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran pada sesi petang. Bertolak dari IPG pada jam 11.30, selalunya akan singgah di Chip Fatt untuk memperbanyakkan lembaran kerja, atau melaminate bahan sumber pengajaran, barulah ke sekolah lebih kurang jam 12.00 tengahari. Sampai di sekolah pada jam 12.30, pulang ke IPG pada jam 6.30 petang. Semasa minggu-minggu awal praktikum, saya seringkali tertidur walaupun malam masih awal. Kepenatan. Entahlah apa yang begitu memenatkan. Ketika ini, barulah terbayang wajah mak dan abah yang pernah mengajar sesi petang. Barulah terasa, penatnya mak dan abah semasa itu, ditambah pula dengan kerenah anak yang pelbagai... Ya Allah, kau peliharalah kedua ibu-bapaku, sebagaimana mereka memeliharaku di waktu kecil.

Kini, tinggal lebih kurang tiga minggu lagi untuk saya menghabiskan praktikum terakhir ini. Alhamdulillah, sudah boleh menyesuaikan diri. Cuma, masih ada lagi kelompongan dari segi pengurusan masa dan tenaga. Banyak yang hendak disiapkan, tetapi seringkali diri ini kalah dengan tuntutan jasad yang kononnya letih, penat, tidak larat.


Teringat perbualan dengan Ummi Naufal, sukarnya nak mengimbangi kerja di sekolah dengan perkara-perkara lain di IPG yang perlu diuruskan. Kata Ummi, itu belum lagi punya suami dan anak yang perlu diladeni... Ya Allah.. kurniakanlah kekuatan dan kesabaran. Sesungguhnya, jalan ini masih panjang... Masih banyak yang belum ditempuh. Ujian kesibukan dan kekangan masa ini hanya sedikit saya pasti..

Zaman belajar ini adalah zaman melatih diri dalam perjuangan. Tetapi medan sebenarnya adalah setelah tamat pelajaran, semasa berhadapan dengan masyarakat, semasa telah berkeluarga dan beranak-pinak. Semasa ini, apakah kita masih punya energi untuk meneruskan jalan hidup yang dipilih ini??? Semoga Allah menetapkan hati kita agar sentiasa tsabat dalam perjuangan ini...

Buat diri, selamat berjihad menentang hawa nafsu, dan godaan syaitan yang sentiasa menuntut perkara yang sia-sia...
2 Responses
  1. umaruddin Says:

    salam..betul tu,segala yang belajar dulu kena recall balik...rupanya dah ada orang lain yang telah merasa betapa penatnya menjadi guru sebelum kita...mungkin orang tua kita,mungkin saudara kita dan sebagainya..jadi sekarang baru kita mengerti bila diri kita sendiri pula menggantikan mereka..tabahkan hati..kuatkan semangat..jangan putus asa..sesungguhnya apa yang kau lalui ini telah pun dilalui oleh para nabimu..


  2. along N Says:

    Semalam ada terbaca di blog Halaqah IPG,. kisah semasa Rasulullah terima kenabian..

    Mari kita imbas kembali saat-saat sewaktu Nabi Muhammad s.a.w menerima kerasulan. Usai menerima wahyu pertama dalam keadaan takut dan menggigil, baginda meminta Siti Khadijah supaya menyelimutkannya. Selepas beberapa ketika...nabi terlelap.

    Pulang sahaja dari bertemu Waraqa Bin Naufal, dilihatnya Muhammad s.a.w masih tidur. Dipandangnya suaminya itu dengan rasa kasih dan penuh ikhlas, bercampur harap dan cemas. Dalam tidur yang demikian itu, tiba-tiba ia menggigil, nafasnya terasa sesak dengan keringat yang sudah membasahi wajahnya. Ia terbangun, manakala didengarnya malaikat datang membawakan wahyu kepadanya:

    "Wahai orang yang berselimut! Bangunlah dan sampaikan peringatan. Dan agungkan Tuhanmu. Pakaianmu pun bersihkanlah. Dan hindarkan perbuatan dosa. Jangan kau memberi, kerana ingin menerima lebih banyak. Dan demi Tuhanmu, tabahkan hatimu." (Al-Mudatstsir:1-7)

    Siti Khadijah memandang Rasulullah s.a.w dengan penuh rasa kasih sayang, ada rasa sayu di hatinya. Didekati baginda perlahan-lahan seraya dimintanya, supaya kembali tidur dan beristirehat.

    "Waktu tidur dan istirehat sudah tiada lagi, Khadijah," jawab baginda. "Jibril membawa perintah supaya aku memberi peringatan kepada umat manusia, mengajak mereka, dan supaya mereka beribadat hanya kepada Allah. Tapi siapa yang akan kuajak? Dan siapa pula yang akan mendengarkan?"

    (Secebis petikan dari ‘Sejarah Hidup Muhammad s.a.w’ – Muhammad Husain Haekal)


    Sepatutnya, "WAKTU TIDUR DAN ISTIREHAT TIADA LAGI"... Kerana sesungguhnya, tanggungjawab itu melebihi masa yang ada....

    Ya Allah,. beri kekuatan kepada kami...


Catat Ulasan