Apr
10

 Bismillahirrahmaanirrahiim.......


Kekok rasanya mahu memulakan bicara di sini. Sela masa 11 tahun, cukup lama untuk diungkapkan segala rasa yang bergulat di dalam jiwa. Turun naik emosi dan drama kehidupan di dunia nyata, masih seakan di awang-awangan.

Janji tinggal janji, untuk memenuhi laman ini dengan pelbagai kisah 'klasik' sebagai panduan kehidupan di masa hadapan. Bercucuran air mata tatkala membaca coretan-coretan akhir di hujung 2013, dan mengingati cerita 'sedih' yang membuatkan diri ini menulis kala Sept 2014. 

Cerita sedih itu telah berlalu. Biar hanya diri dan Allah yang tahu, apa kisah dan ceritanya. Tetapi, sungguh peristiwa itu, menjadi tapak-tapak kecil kepada perubahan diri, ke lembah hitam yang menjauhkan diri dari Dia yang Esa. Cerita itu bukanlah asbabnya, tak lain cara diri ini bertindak balas, yang menghilangkan jejak-jejak cinta kepada DIA. 

Sungguh, tempoh ini adalah tempoh rentan aku semakin jauh dari cintaNya. Adakala aku kembali, acapkali terhindar kembali, ke lembah hina, lantas hatiku yang pernah disinari cahaya cinta padaNya, jadi sirna, kelam dan penuh berkabut. 

Namun, tempoh-tempoh itu juga semakin berlalu. Berkali-kali aku ingin kembali, tetapi tetap sesat di jalan kehidupan. Aku sengaja menaip namaku, lalu laman ini timbul, setelah sekian lama. Aku cuba menembus masuk ke ruang administrasi. Dengan izinNya, aku berjaya. 

Aku membanding-banding indah bicaraku, serta tertib susunan kata, yang pernah aku coretkan di sini, dengan lidah bercabangku di laman gelap tempat aku meluahkan segala hiba rasa dan kekecewaanku; jelas berbeza suasana hatiku. 

Semoga, dengan coretan setelah tahun kesebelas laman ini kutinggalkan, aku bisa sekali lagi merangkaikan kata-kata indah, dari hati yang terjaga, dan penuh cinta kepada Dia. Laman ini, bukan sekadar mencatat memori indah, tetapi juga sebagai muhasabah, akan perjalanan kehidupan yang penuh mehnah. 

Selamat berjuang, duhai Nazirah. 💐

Salam sayang, dari dirimu yang pernah hilang. 💐