BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIIM

Sudah lama tidak mencoret di sini. Berhabuk malah sudah bersawang pun. Kisah Klasik sepanjang dua tahun yang telah lama tertinggal tanpa sebarang catatan. Sehinggakan ada yang bertanya, "ingat lagi tak alamat blog?". Senyum. Pasti masih ingat. Menunggu masa yang sesuai untuk kembali bicara, pasti sampai bila pun akan tiada jika tidak diadakan. Justeru, di masa sela saat sendiri begini, tiba-tiba hati dipagut rasa untuk kembali menulis dan bercerita di laman ini, Kisah Klasik untuk Masa Depan, umpama coretan yang akan menjadi kenang-kenangan kepada diri untuk menoleh kembali saat-saat yang pernah dilalui, juga pandangan-pandangan terhadap isu semasa dan pendidikan yang bisa dikongsi bersama, seiring perubahan zaman, seiring perubahan status diri. Iya, dulu semasa laman ini ditinggalkan nyawa-nyawa ikan, masih memegang status 'single and available', kini status itu sudah berubah, Alhamdulillah sudah bertemu pemilik cinta setelah Allah dan Rasul, dan InSyaAllah akan berubah lagi dalam sedikit masa.

Jadi, hari ini? Se'betul'nya tiba-tiba teringat zaman kanak-kanak dulu, zaman sekolah rendah, bagaimana mak dan abah mendidik melalui bersederhana, kerana selepas ini akan tergalas pula tanggungjawab mendidik anak-anak, jadi tiba-tiba kenangan itu menerjah. Kenapa? Sebab gaji baru sahaja dimasukkan ke dalam akaun bank. (^_^) Dulu, ketika masih di bangku sekolah rendah, hujung minggu saat mak dan abah masuk gaji jadi minggu yang ditunggu-tunggu. Mak dan abah mengajar di sekolah menengah yang berlainan di pekan kecil Serdang. Sungguhpun anak cikgu, kami adik-beradik tak pernah dimanjakan dengan barangan ikut suka nak beli apa, nak yang mana. Baju-baju yang dipakai seharian pun kerapkali berkongsi antara adik-beradik. Kalau beli baju baru pun sekali sekala, bila ada keperluan, atau semasa hari raya.

Jadi, apa ceritanya bila masuk gaji? Haaa.. yang seronoknya bila masuk gaji adalah,... mak dan abah akan keluar ke pekan Parit Buntar berdua, untuk membeli barang keperluan bagi kegunaan sebulan akan datang. Kami jarang-jarang memberitahu isi hati apa yang diingini, tapi acapkali apa yang terlintas di hati akan dibeli. Pagi-pagi, mak masakkan sarapan, dan masukkan baju ke dalam mesin basuh. Amanah untuk kami (walaupun selalu culas) menyidai kain yang telah emak mesinkan. Bila mak dan abah keluar, kami bebas di rumah. Senyum. Selalunya ralit tengok kartun, atau berangan beraksi ala-ala 'Anak-Anak Sidek' menjadikan ruang dapur di rumah ala-ala gelanggang badminton. Bila dah besar baru perasan bahawa ruang itu bukanlah sebesar mana. Imaginasi zaman anak-anak, ruang sekecil mana pun boleh bertukar seluas mimpi di alam fantasi. Sekejap-sekejap berganti dengan adik, menyapu lantai, menyidai kain. Sekali-sekali pandang jam, sudah pukul berapa, bila agaknya mak dan abah nak balik dari Parit Buntar.

Hampir jam 12 tengahari, mak dan abah akan sampai di rumah, dengan segala borongan dari pasaraya Minat atau Billion kerana itu sahaja pasaraya besar yang ada di pekan Parit Buntar. Kami, anak-anak mak dan abah berlari keluar dengan hati berdebar-debar, apa agaknya yang diborong mak dan abah. Ooh, alangkah seronoknya, bila ada majalah Dewan Pelajar, atau Kuntum, atau Kawan. Lagi, buah-buahan oren, limau, minuman susu kultur Vitagen, bijirin sarapan pagi, Cornflakes atau Coco Crunch, coklat Kit-Kat (kadang-kadang). Zaman adik-adik, Abang, Achik dan Adik, sudah ada yogurt Cal-ci-yum yang boleh buat mereka senyum hingga ke hujung telinga. Selalunya begitulah, kami jarang dibawa membeli belah bersama, tetapi senyuman pasti menghiasi setiap kali mak dan abah balik. Ada masa-masanya, mak dan abah belikan daging burger dengan rotinya sekali, jadi seminggu itu asyik berulang minta mak masakkan burger. (^_^) Indahnya kenangan.




Majalah Kawan dulu-dulu ada banyak kartun 'best', Kawan, Cili Padi, ZulTek, dan banyak info-info menarik. Masa tu belum wujud majalah Asuh, Ana Muslim dan sebagainya.

Kini, kami anak-anak mak dan abah dah besar dan ada gaji sendiri. Masih bertatih dalam menguruskan gaji sendiri walaupun sudah 4 tahun. Selepas ini, semakin banyak keperluan-keperluan yang perlu dilunasi. Apa ya, yang nak dihadiahkan kepada mak dan abah saat gaji sendiri sudah masuk. Sehingga setakat ini, jarang-jarang dibeli barang-barangan untuk mak dan abah kerana acapkali mak dan abah menolak setiap kali ditanya. Apa yang termampu dilakukan, potongan bulanan dengan amaun yang sangat sedikit berbanding pengorbanan mereka ke akaun Tabung Haji milik mak dan abah. Juga doa yang sentiasa dipanjatkan agar mereka sentiasa dirahmati oleh Allah s.w.t.

Mak dan abah, terima kasih atas segala didikan, yang tidak ternilai. Terima kasih kerana tidak mengajar kami membazir, dan sentiasa bersederhana. Moga menjadi teladan untuk kami membesarkan anak-anak.

Sekian, coretan bila dah masuk gaji. =) Jumpa lagi di lain hari.

Oh ya, hari ini tiba-tiba terkeluar idea untuk menulis kerana sedang berusaha menyiapkan tugasan kuliah yang sedang bertimbun. Doakan. =)
Malam sudah beranjak ke pagi. Namun, masih lagi ingin kuluahkan gusar hati yang belum mahu beranjak pergi. Teman, kerana aku ingin berkongsi sedikit rasa yang ada pada seketul daging bernama hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


Yang ingin kubicarakan teman, hati itu sesungguhnya dianugerahkan Allah kepada kita, dengan suatu rasa bernama intuisi. Seringkali di hati itu terasa senang sekali, aman dan damai. Tatkala itu terasa hari dilalui indah sekali, apa yang diperbuat terasa dikurniakan redha Ilahi, sudah semestinya, InsyaAllah, satu perbuatan yang baik, yang sedang kita perbuatkan. Sungguh, pada saat itu, hati pasti rasa riang, rasa lapang.

Sebaliknya teman, pernahkah kau rasakan, bisik hati seumpama awan hitam yang berat menanggung hujan? Sesak terasa di lubuk sukma. Apa yang diperbuat seumpama ada sahaja yang tidak kena. Seumpama ada seketul batu yang berat yang ditimpakan ke atas dada, sesak nafas, seakan tiada ruang untuk bernyawa. Percayalah teman, saat itu hati kita sebenarnya sedang memekikkan lontaran suara, memprotes tindakan maksiat yang kita kerjakan!! Jangan sesekali kita abaikan pekikan itu teman, kerana bila ia sudah terabaikan, apa yang dirasakan selepas itu adalah rasa selesa dengan maksiat yang sedang kita perlakukan.

Ingat2 juga teman, hati kita itu, perlu dibimbing agar kenal baik buruk ikut pada perintah agama. Agar ia bisa tenang pada hal-hal yang mengikut lunas syari'at yang telah ditetapkan Allah, dan bisa menendang menggigit pada hal-hal maksiat yang melanggar perintah dan larangan Allah. Kerana itu teman, hati itu perlu selalu diberi makan. Makanan jiwa yang molek-molek, 5 vitamin yang bisa menambahbaik jiwa sebagaimana bait-bait puisi Imam Nawawi dalam salah sebuah karyanya- Kitab At-Tibyaan.
  • Khamsun hunna dawaul qalb (Ada lima perkara yang menjadi penawar hati)
  • Qiraaatul quran (Membaca Quran)
  • Wa qiyamul lail (dan melakukan sholat malam)
  • Wa majaalisatus shalihien (dan berkumpul dengan orang yang baik)
  • Wa ikhlaaul baathin (dan berpuasa)
  • Wa tadharruindas shabaah (dan berdzikir menjelang subuh)
 

Aku bicara ini teman, sebagai satu perkongsian rasa. Sebagai peringatan untukku dan untukmu, agar kita bisa memperbaiki hati, untuk memperbaiki diri... Tegur aku teman, jika aku melakukan sesuatu yang bisa membinasakan hati aku. Moga Allah merahmati kamu, temanku, dan aku.


P/S:: Kongsikan teman, apa rasa yang pernah terbit dari lubuk sukma kamu?