Memaparkan catatan dengan label ::sekadar coretan hati::. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ::sekadar coretan hati::. Papar semua catatan
Malam sudah beranjak ke pagi. Namun, masih lagi ingin kuluahkan gusar hati yang belum mahu beranjak pergi. Teman, kerana aku ingin berkongsi sedikit rasa yang ada pada seketul daging bernama hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


Yang ingin kubicarakan teman, hati itu sesungguhnya dianugerahkan Allah kepada kita, dengan suatu rasa bernama intuisi. Seringkali di hati itu terasa senang sekali, aman dan damai. Tatkala itu terasa hari dilalui indah sekali, apa yang diperbuat terasa dikurniakan redha Ilahi, sudah semestinya, InsyaAllah, satu perbuatan yang baik, yang sedang kita perbuatkan. Sungguh, pada saat itu, hati pasti rasa riang, rasa lapang.

Sebaliknya teman, pernahkah kau rasakan, bisik hati seumpama awan hitam yang berat menanggung hujan? Sesak terasa di lubuk sukma. Apa yang diperbuat seumpama ada sahaja yang tidak kena. Seumpama ada seketul batu yang berat yang ditimpakan ke atas dada, sesak nafas, seakan tiada ruang untuk bernyawa. Percayalah teman, saat itu hati kita sebenarnya sedang memekikkan lontaran suara, memprotes tindakan maksiat yang kita kerjakan!! Jangan sesekali kita abaikan pekikan itu teman, kerana bila ia sudah terabaikan, apa yang dirasakan selepas itu adalah rasa selesa dengan maksiat yang sedang kita perlakukan.

Ingat2 juga teman, hati kita itu, perlu dibimbing agar kenal baik buruk ikut pada perintah agama. Agar ia bisa tenang pada hal-hal yang mengikut lunas syari'at yang telah ditetapkan Allah, dan bisa menendang menggigit pada hal-hal maksiat yang melanggar perintah dan larangan Allah. Kerana itu teman, hati itu perlu selalu diberi makan. Makanan jiwa yang molek-molek, 5 vitamin yang bisa menambahbaik jiwa sebagaimana bait-bait puisi Imam Nawawi dalam salah sebuah karyanya- Kitab At-Tibyaan.
  • Khamsun hunna dawaul qalb (Ada lima perkara yang menjadi penawar hati)
  • Qiraaatul quran (Membaca Quran)
  • Wa qiyamul lail (dan melakukan sholat malam)
  • Wa majaalisatus shalihien (dan berkumpul dengan orang yang baik)
  • Wa ikhlaaul baathin (dan berpuasa)
  • Wa tadharruindas shabaah (dan berdzikir menjelang subuh)
 

Aku bicara ini teman, sebagai satu perkongsian rasa. Sebagai peringatan untukku dan untukmu, agar kita bisa memperbaiki hati, untuk memperbaiki diri... Tegur aku teman, jika aku melakukan sesuatu yang bisa membinasakan hati aku. Moga Allah merahmati kamu, temanku, dan aku.


P/S:: Kongsikan teman, apa rasa yang pernah terbit dari lubuk sukma kamu?





Ada seekor kera, yang sedang bergayut pada daun kelapa,
Saat angin kencang dan ribut taufan menyerang,
kuat pautannya pada pegangan, tidak jatuh setelah ribut reda...
Suatu ketika, angin sepoi-sepoi bahasa,
menyapa lembut pada ubun-ubun,
membuahkan rasa selesa, damai dan tenang sentiasa,
perlahan-lahan tangan dilerai dari pautan,
sedar-sedar sudah jatuh ke bawah...
Kata Ustaz Rahmat Abdullah :: Kesimpulannya, nta jangan jadi kera...
(Petikan dari filem Sang Murabbi)


















Selama ini kamu berdiri atas kekuatan apa?
Kekuatan diri yang benar-benar dalam faham,
Atau kekuatan ekstrinsik yang ada kala menyala suatu ketika pudar?

Selama ini kamu berjuang kerana apa?
Apa benar kerana cari redha Allah,
atau hanya kerana ada teman dalam jemaah?

Selama hari ini benarkah kamu ingin jadi pejuang?
Dalam sepanjang hidup dan desah nafas kamu?
Dalam sepanjang hari dan setiap saat yang berlalu?

Kamu tenung pada diri,
Renung saat alpa leka menyapa,
Koreksi pada segala yang melemahkan...

Aduhai,.
Kamu janji mahu jadi pejuang sejati,
Cari redha Allah dalam setiap amal buat
Lantas benarkah bagai dikata?
Atau sekadar catatan manis buat tatapan mata?

Koreksi diri!! Koreksi diri!!
Kalau lemah kamu harus bangkit kembali
Puncanya pasti ada pada diri sendiri
Duhai pejuang kamu sentiasa punya peluang
Ingat pada JANJI!
Ingat pada JANJI!
Kerana saksinya adalah Allah dan segala makhluk ciptaanNya
Bukan mainan kata dan perkara sia-sia.
Kerana syurga Allah itu mahal harganya
Bukan pada orang yang mensia-siakan masa mudanya
Dengan gelak tawa tanpa ada duka nestapa...
Bukan pada orang yang hanya hidup senang lenang,
tanpa memikirkan derita saudara yang sedang berjuang
Bukan pada orang yang hisup statik
Tidak mahu melakukan perubahan dalam hidup sendiri

Aduhai pejuang,
Sementara masa masih ada,
Betulkan niatmu nan satu,
Ikhlaskan juangmu kerana Allah semata,
Siap sentiasa fizikal dan ilmumu,
Buangkan segala leka dan alpa,
Tingkatkan sedar dan keazamanmu,
Kerana kamu telah BERJANJI,
dan sentiasa memperbaharui JANJI,
Maka laksanakanlah JANJIMU!!!!

Sesungguhnya Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku hanya untuk ALLAH s.w.t.
Bismillahirahmaanirrahiim…

Sebulan sekali. Itu kekerapan entri dalam blog ini. Sebulan sekali. Baru menjengah untuk mengarang lagi. Sebulan sekali… Bila agaknya dapat diubah menjadi seminggu sekali??
^^ Bicara buat diri, pembuka entri setelah lama menyepi….

Entri kali ini saya tujukan buat Abah tersayang. Bukan semata-mata kerana bulan ini adanya sambutan Hari Bapa, tetapi kerana luahan ini sudah lama terbuku di hati.

Semasa saya kecil, Abah sangat garang. Abah tegas sangat semasa mengajar mengaji. Abah sangat marah bila pukul 7.00, sudah hampir masuk waktu Maghrib, saya belum mandi sebab menghadap kartun Doraemon. Abah tak payah cakap banyak, abah jeling aja saya dah takut. Kadang-kadang, bila abah dok lalu depan pintu ruang tamu, (isyarat nak suruh berhenti tengok tv) saya berani-berani perlahankan volume, konon tengah rehat nak siapkan diri. Bila abah bersuara, baru nak mencanak lari. Nakalnya saya waktu itu…

Semasa saya kecil, abah selalu beli buku. Abah selalu beli majalah-majalah untuk kanak-kanak seperti Kuntum, Kawan dan Dewan Pelajar. Kalau saya menangis pun abah pujuk dengan buku. Sebab bila dapat buku, saya rasa gembira sangat. Hilang air mata, hilang rasa sedih. Di rumah abah ada simpan banyak buku. Buku Ilmu Alam masa abah ambil SRP dulu pun masih ada. Abah juga ada simpan Siri Koleksi kisah-kisah nabi dalam al-Quran dan Hadis. Buku-buku itu dulu jadi peneman bila majalah dan habis dibaca dalam masa setengah hari selepas dibeli, yang saya baca berulang-ulang kali.

Buku yang paling saya suka adalah Koleksi Kisah-Kisah Nabi yang abah hadiahkan kepada saya semasa sekolah rendah. Saya masih ingat mengulang baca tanpa jemu kisah-kisah Nabi Lut, Bahtera Nabi Nuh, Unta Nabi Saleh dan kisah Nabi Allah Ibrahim yang gagah berani menghancurkan berhala. Juga tidak saya lupa kisah dua beradik pemanah Tariq dan Ziyad yang ingin turut serta berperang untuk mengejar syahid di jalan Allah. Terima kasih abah kerana memperkenalkan Along dengan bacaan-bacaan seperti ini.

Semasa saya kecil, abah mengajar kami adik-beradik makan dalam talam, berkongsi. Walaupun bukan selalu, tetapi saya ingat indahnya saat bercanda saling menguis nasi dan lauk. Setiap kali waktu makan, abah suruh tunggu semua orang dah ada menghadap hidangan, baru baca doa dan makan bersama. Janganlah bermimpi nak makan sambil tengok tv. Terima kasih abah mengajar Along dan adik-adik sunnah-sunnah Rasulullah semenjak kami kecil.

Semasa saya kecil, dengan membonceng RXZ abah (yang abah pakai tak bertukar dari mula posting di Pahang sampai ke hari ini), abah hantar saya ke sekolah untuk menuntut ilmu. Bermula dari PASTI, TASKI, TASKA, TADIKA, PRA Sekolah sampai darjah dua abah hantar saya ke sekolah dengan motor abah. Besarnya jasa abah nak bagi saya jadi orang berilmu. Dengan duit upah menjahit baju silat, abah hadiahkan saya sebuah basikal ungu yang saya guna untuk ke sekolah, sekolah petang (sekolah agama), dan mengaji Quran. Saya sayang betul dengan basikal ungu hadiah abah.

Semasa kecil hingga remaja, abah yang menjadi guru tuisyen Matematik saya. Abah garang sangat masa mengajar, sampai menitis air mata. Tapi, mungkin kerana ikhlasnya abah mengajar anak sulungnya ini, semua peperiksaan UPSR, PMR, dan SPM, saya capai keputusan cemerlang dalam matapelajaran Matematik. Abah selalu ingatkan suruh baca doa belajar sebelum belajar. Usaha sungguh-sungguh, kemudian tawakal pada Allah. Tak kisah berapa pun nak dapat, sebab lepas usaha, Allah yang tentukan semuanya. Berapa pun dapat, terima dengan redha...

Masa kami sekeluarga diuji dengan sakit Achik, abah jadi sangat penyabar. Abah selalu tenangkan kami, ingatkan bahawa ujian ini dari Allah. Saya ingat lagi, hati rasa tersayat bila dapat tahu abah tidur di kaki lima hospital sepanjang dua minggu Achik di ICU, dengan makan yang tidak menentu. Bila waktu solat, abah menapak ke Masjid Greentown yang terletak bersebelahan hospital. Abah tahan air mata sebak dan senyum manis-manis supaya anak-anak yang lain tidak terasa sedih dengan ujian yang menimpa. Sungguhlah ujian itu satu rahmat. Dari mula Achik sakit pada April 2005 hingga saat Achik pergi pada Januari 2008, adalah tempoh perubahan kepada kami sekeluarga. Hikmahnya masih kami gali hingga ke hari ini. Mak turut mengakui. Biarpun masih banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki, tetapi ujian itu satu kafarah dan rahmah daripada Allah.

Sepanjang tempoh Achik sakit, adalah saat kami berdikari. Abah yang berulang seorang diri setiap hari ke Hospital Taiping. Mak yang sendirian menemani Achik di HDU. Adik yang pandai-pandai membawa diri untuk UPSR. Abang yang sendiri meniti alam remaja di Yayasan. Angah yang tabah tenang mengurus diri sendiri untuk menyambung pelajaran di Al-Azhar, dan saya sendiri yang belajar mengenal erti tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Saya tahu dalam tempoh ini pelbagai suka duka mengiringi cerita. Tetapi saya pasti, setiap lembar cerita, punya hikmah yang tersembunyi. Syukur kami diberi kekuatan oleh Allah untuk menempuhi tempoh itu.

Mac 2008, abah pinjamkan saya Kancil second hand dengan seikhlas hati. Dengan Kancil itu, saya mendidik diri. Banyak sungguh kenangan tarbiyah, ukhuwah, dakwah dan tanggungjawab yang saya pelajari dengan sebuah Kancil hadiah abah. Niat hati dari awal, untuk mencari redha Ilahi. InsyaAllah abah, Kancil itu Along guna untuk redha Allah hingga kini. Sebab nanti, tangan yang memulas stereng Kancil nan sebuah itu akan ditanya, ke mana diarahkan pemanduan kamu, ke arah kebaikan atau ke jalan maksiat. MOga-moga, ke mana saja ia dipandu ke arah mencari redha Allah, abah juga turut mendapat tempiasnya… InsyaAllah…

Sekarang saya sudah melepasi usia remaja, malah sudah menginjak usia dewasa. Jika dulu, serasa-rasa sedih sungguh bila abah marah. Takut sungguh pada abah. Namun, kala usia makin bertambah, saya belajar mendekati abah. Mengenali hati abah. Mendengar luahan hati abah. Sementara masih ada.. Tidak pernah kita duga siapa yang bakal pergi dulu. Namun, sementara abah masih ada, dan saya juga masih bernyawa, ingin saya ucapkan terima kasih buat abah yang menyatakan sayang dalam diam dan doanya.
Abah,
Maafkan anakmu dalam diam mengguris hatimu.
Maafkan anakmu atas khilaf dalam pertuturan dan perbuatan.
Maafkan anakmu kerana kurangnya memahami dirimu.
Maafkan anakmu kerana kesilapan mentafsir amarahmu.
Ampunkanlah segala dosa-dosaku kepadamu...

Terima kasih abah, kerana memilih ibu yang baik untuk kami.
Terima kasih abah, atas segala didikan abah.
Terima kasih abah, atas segala ingatan dan teguran.
Terima kasih abah, atas amarah dan ketegasan.
Terima kasih abah, atas segala pengorbanan.
Terima kasih abah, atas doa yang tiasa hentinya agar kami menjadi anak yang soleh dan solehah.
Terima kasih abah, atas segala-galanya.

Redhailah anakmu ini abah, kerana redha Allah adalah di bawah keredhaan mak dan abah..

Segala jasa dan pengorbanan abah sedari usia kecil, remaja, dewasa hingga bergelar seorang abah, hanya ALLAH yang dapat membalasnya...


Terima kasih ya Allah, kerana mengurniakan kami seorang abah seperti abah…

“Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa dua ibu bapaku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil."


Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka

Perindahlah ucapanku di depan mereka

Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan

Lembutkan hatiku untuk mereka


Ya Allah,

Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
atas
didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar atas
kesayangan
yang mereka limpahkan padaku,
peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,

Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau
kesusahan yang mereka deritakan kerana aku,
atau
hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka
dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka
dengan perkenan-Mu ya Allah,

hanya Engkaulah yang berhak
membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa’at untukku.

Tetapi jika sebaliknya,
maka izinkanlah aku memberi
syafa’at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul
bersama
dengan santunan-Mu di tempat
kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu,ampunan-Mu serta
rahmat-Mu……….

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan
Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin..



** Abah, Along sayang abah kerana Allah. Along ingin jadi anak abah di dunia, dan ingin bertemu abah lagi di akhirat sana, bertemu dengan mak juga angah, abang, achik dan adik sebagai sebuah keluarga yang diredhai Allah..... Insya-Allah...

^^ Sama-sama saling ingat-memperingati ke arah kebaikan dan ibadah, juga moga kita istiqamah dalam mencari redha Allah...

“Wahai orang-orang yang beriman!
Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu
daripada api neraka”
(Surah At-Tahrim : Ayat 6
)
Assalamu'alaikumwarahmatullahiwabarakatuh...

Bismillahirrahmaanirrahiim,.. Segala puji bagi Allah yang telah memberi sedikit masa ini untuk saya mencoret sesuatu di sebalik kesibukan melaksanakan segala tanggungjawab yang masih belum tertunai sepenuhnya. Sesungguhnya AMANAH itu semakin bertambah sedangkan usia kita semakin berkurang.


SELAMAT HARI IBU

Biarpun telah terlewat, namun saya kira masih relevan untuk mengucapkan SELAMAT HARI IBU buat mak yang tersayang, Sharipah Noor Gayah bt Syed Abdul Hamid yang telah mengandungkan Along selama 9 bulan, dalam jerih payah menggendong Along ke hulu ke hilir dengan menaiki bas dan motor abah. Sesungguhnya jasa mak dan abah takkan dapat dibalas material apa pun di dunia ini. Mak sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi segala ujian yang Allah beri pada mak. Semoga Allah sentiasa memberkati hidup mak dan abah.



Tidak dilupakan juga buat Ummi Maudah, Mama Balqis (Shida), bakal ibu Wa (Adhwa) dan ibu-ibu seluruhnya.


SELAMAT HARI GURU

Juga ucapan Selamat Hari Guru ditujukan buat::
  1. Mak dan abah tersayang yang sedari kecil menjadi pendidik pertama untuk Along dan adik-adik.
  2. Cikgu-cikgu Taska, Taski, Tadika, Pra Sekolah
  3. Cikgu-cikgu SKAP
  4. Cikgu-cikgu SMKAB
  5. Pensyarah di Matrikulasi UIA, PJ (walaupun sebulan je)
  6. Pensyarah di IPGM KPIS (dulu Maktab Perguruan Islam, Bangi)
  7. Pensyarah di IPGM Kampus Ipoh
  8. Sahabat-sahabat sePISMK-OUM esp PISMK-OUM PJ yang sangat dirindui
  9. Rakan-rakan sejawatan (senior-senior) di sekolah pertama saya, SK Batu Tujuh, Tapah
  10. Bakal-bakal guru di IPGM Kampus Ipoh
  11. Bakal-bakal guru di IPGM-IPGM seluruh Malaysia

" The mediocre teacher tells,
the good teacher explains,
the superior teacher demonstrates,
the great teacher inspires"

Semoga setiap saat dikurniakan kasih sayang Allah, diberikan keberkatan dalam setiap rezeki yang dilimpahkan, dan beroleh redhaNya dalam setiap amalan dan tindakan..

p/s::
Teringin mengulas lanjut tentang tugas dan amanah sebagai guru ini. Ramai orang ingat kerja guru paling senang, rehat setiap petang dan punya cuti paling panjang. Hakikatnya, ia membawa tugas kerasulan, menyampaikan... Rasulullah sebagai guru terhebat, contoh tauladan sepanjang zaman, menyentuh hati setiap ummat... Guru sebagai agen dakwah. Guru juga pengubah minda. Guru sebagai arkitek insan.

Selamat meneruskan perjuangan!! Buat cikgu-cikgu sedunia,...


Bismillahirrahmaanirrahiim...

Sekadar entri singkat untuk difikir-fikir dan direnung-renungkan, memuhasabah diri yang acapkali leka dan lalai dengan kemanisan dunia, hingga terleka akan kemanisan di akhirat sana yang berjuta kali ganda lebih manis dan indah berbanding kemanisan dunia.

Sudah lama blog ini tidak saya jejaki. Sungguhpun banyak yang ingin dicoret, kekangan masa sepanjang bulan pertama bergelar guru membataskan segalanya. Ditambah pula dengan talian internet yang sekadar 'edge' ini, sangat sukar untuk saya online. Namun, siapalah saya untuk merungut. Setiap apa yang telah ditetapkan oleh Allah itu pasti ada kebaikan dan hikmahnya, hanya mungkin tidak tertemu oleh kita yang terbatas pemikiran.

Saya bersyukur atas segala perkara yang telah dipermudahkan oleh Allah swt sepanjang saya di bumi Tapah ini. Saya kini menatap langit Ilahi, dari tingkat 5, Kuarters Institusi Pendidikan Jalan Pahang, Tapah. Persekitaran yang agak sunyi, namun insyaAllah, mak dan abah saya tak perlu risau dengan keselamatan anak sulungnya ini, lantaran kuarters ini dilengkapi jaga dan dipenuhi oleh para guru dan staf pendidikan. Hilanglah gusar di hati mak melepaskan saya di sini.

Musim pengajian telah berakhir, saya kini bergelar guru di SK Batu Tujuh, Tapah. Sekolah ini terletak di tepi jalan, Jalan Pahang, bertentangan dengan jalan masuk ke Tempat Perkelahan Kuala Woh. Murid-murid saya majoritinya orang asli. Hanya lebih kurang 20 orang sahaja yang beragama Islam. Menatap wajah mereka, saya terkenangkan kisah 'Laskar Pelangi'. Merekalah 'Laskar Pelangi' saya. Mereka istimewa dan tidak ternilai. Mereka belajar dari saya, dan saya belajar dari mereka.

Masa berlalu terlalu pantas. Sudah sebulan saya di sini. Seharusnya saya mula mengorak langkah, menilai dan memerhati situasi, untuk mula bergerak kerja. Bukan sahaja untuk tugasan sebagai pendidik, malahan untuk pengisian dan tarbiyah diri, menjalankan tugas sebagai hamba Allah. Jika di SMKAB dan di IPG dulu, kuliah agama sentiasa ada, pengisian di Surau Al-Muttaqin dan Surau Al-Hidayah tidak pernah lekang. Di sini, saya perlu mencari sendiri. Jika saya leka sendiri, maka akan kering kontanglah jiwa nurani dari pengisian rohani, makanan kepada roh yang perlu berfungsi.



SEMUANYA BERJUANG DALAM CARA YANG TERSENDIRI...

Baru usai membaca blog Umi yang sudah lama tidak dibuka. Umi semakin rancak dengan program-program anjuran syarikat UMFL Resources. Anis tidak kurang hebatnya, semakin aktif dan ligat sebagai penceramah dan motivator. Tahniah Umi dan Anis. Rindu sekali untuk bertemu kalian. Teringin juga untuk melapangkan waktu, mencuri sedikit masa untuk menghadiri program anjuran UMFL Resources dan menyertai bengkel kendalian Anis. InsyaAllah, moga Allah beri ruang dan kesempatan.

Adik-adik di IPG Kampus Ipoh juga tidak kurang hebatnya. Baru-baru ini saya mendapat khabar Biro Agama dan Kerohanian menganjurkan Bengkel Pengurusan Organisasi untuk para penggerak Biro Agama dan Kerohanian. Tahniah saya ucapkan. Moga perjalanan Biro Agama dan Kerohanian IPGM Kampus Ipoh semakin lancar dan 'mantop'! InsyaAllah.

Oh, mendengar dan melihat segala bentuk perjuangan ini, membuatkan saya melontarkan soalan kepada diri, kepada hati, apakah saya juga telah mula mengorak langkah untuk meneruskan perjuangan di bumi Tapah ini? Apakah saya juga bisa mencipta 'DETIK EMAS' untuk diri saya di sini? Apakah saya telah memulakan derap langkah untuk saya berjuang di sini? Apa yang ingin saya juangkan? Apa yang akan saya perjuangkan? Tepuk dada, tanya iman di hati,.. Moga-moga Allah merahmati.

Doa saya setiap hari, moga Allah memberi kekuatan dan ketabahan untuk saya menjalani hari-hari di sini, dalam menjalankan amanah sebagai pendidik, mendidik anak desa yang dahagakan ilmu, juga sebagai seorang dai'e, yang membawa Islam kepada masyarakat. Diri ini hanya insan kerdil Ya Allah, tanpa kekuatan daripadaMu, pasti aku tiada berdaya...

** Along mencatat rekod sendiri di sini, sudah hampir sebulan, belum pernah sekalipun pulang ke rumah. Beda sekali semasa di IPG dulu. Hampir setiap minggu menjenguk keluarga. Kerinduan kepada mak, abah dan adik-adik, bagaikan tidak tertahan lagi. Begini rupanya ujian kerinduan. Saban waktu asyik terkenang untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta. Namun, teringat Angah yang sedang berjuang di bumi Mesir, yang beribu batu lebih jauh dari Malaysia, membuatkan hati berkata, "Sabarlah duhai diri, ini baru dugaan kecil...."

Titis-titis hujan rintik
Kuharapkan ia bukan hasil daripada kesedihan
Jua bukan dari dendam kebencian
Kuharapkan ia adalah azimat kecintaan
Jua sebagai bukti kerinduan
Yang lahir tulus dari hati
Kerana Allah Yang Maha Esa

Titis-titis hujan turun bertimpa-timpa...
Moga bisa menjadi baja
Menyirami kuntuman ukhuwwah yang kian layu
Agar kembali mekar menguntum,
Mewangi ke segenap penjuru alam


Ya Allah,
moga titis-titis hujan
yang lahir dari nubari
adalah ikhlas keranaMu
agar ia tidak dapat disapa,
digoda sang iblis laknatullah...

Ya Allah,
Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini
telah berkumpul kerana mengasihiMu,
bertemu untuk mematuhi perintahMu,
bersatu memikul beban dakwahMu,
hati-hati ini telah mengikat janji setia,
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu,
maka eratkanlah Ya Allah, akan ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap.
Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman,
keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMu.
Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat tentangMu.
Jika Engkau mentaqdirkan mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini
sebagai para syuhada' dalam perjuangan agamaMu.
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.

Ya Allah perkenankanlah permintaan ini....

*Ya Allah, kurniakan kesabaran dan ketabahan dalam mengharungi segala ujian dan mihnah daripadaMu Ya Allah,..

Teringat dialog dalam drama Cinta Sempurna,

"Kenapa mengeluh? Tak baik mengeluh, keluh kesah dengan ujian Allah. Tak ikhlas dengan Allah tu namanya,.."

Pesanan buat diri,. sabar, sabar, dan terus bersabar. Pasakkan keyakinanmu pada Yang Satu, kerana Dia Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, jua Maha Memberi...


Pernahkah anda berasa SEPI? Seolah-olah diri ini sendiri dalam ramai, kaku dalam kesesakan, sunyi dalam riuk-pikuk kebisingan manusia?? Perit, pedih, muram, kusam dan 1001 rasa negatif lagi yang akan bersarang di dalam dada. Diri rasa terpinggir dan tersisih, melayan hati sendiri, terasa keluh-kesah, tidak tahu di mana salah dan silap, alih-alih hati terasa tidak tenang.

Bila bait-bait sepi ini menguliti hati, mulalah nafsu di hati berbicara, carilah teman buat penyeri. Boleh juga berkongsi rasa yang ada di dalam dada. Kesepian yang menyesakkan jiwa, isilah dengan bunga-bunga cinta yang bisa menyegarkan kembali sekeping hati. Biar terisi dengan kasih dan sayang, merah mekar, harum mewangi. Lantas sang iblis yang selama ini menunggu ruang dan peluang, jadi mudah untuk menakluki jemala hati. Ayat-ayat cinta mula berbicara. Tambahan pula bila kesenangan menawarkan diri, ingin mengisi kesepian diri, ingin berkongsi citra kehidupan.

Bila kesepian menghuni hati, mulalah diri mencari alternatif. Apa yang bisa mengubati kesepian hati, mencari hiburan di kala sunyi, mencari keseronokan bagi menggantikan kesedihan yang mula mengulit diri.

Awaslah! Kesepian yang melanda, bisa sahaja membuka pintu hati untuk diisi. Bezanya, sama ada SEPI itu diisi dengan kebaikan, atau dibuka ruang terhadap kemungkaran. Adakah kita memberi peluang, agar hati yang SEPI itu dihiasi cahaya putih, atau membiarkan ia dalam gelap zulmat dipenuhi tompok-tompok hitam, yang bertambah hari demi hari. Tepuklah dada, soal iman yang melingkari.


"Bilal tak rasa sunyi ke? Duduk sorang-sorang kat sini?" soal Najib kepada seorang bilal buta yang tinggal seorang diri di sebuah masjid.

"Sunyi tu hati, bergantung pada hati. Kalau hati tu rasa berTuhan, sendirian pun rasa ramai."

*Dialog dari drama Cinta Sempurna siaran Astro Oasis sepanjang Ramadhan lalu.
Penuhilah keSEPIan hati dengan ingatan kepadaNya. Ingatan itu akan membuahkan ketenangan dan ketenteraman. InsyaAllah...

ubat_hati.gif image by mfy_87


Bismillahirrahmaanirrahiim.

Alhamdulillah, hari ini dapat menggunakan sedikit masa yang ada untuk mencoretkan sesuatu di sini. Lama menyepi untuk menumpukan kepada praktikum terakhir yang sedang dijalani. Pun begitu, masih banyak lagi kerja-kerja praktikum yang bersisa, mohon perhatian untuk dikemas kinikan. Begitu juga dengan tuntutan-tuntutan semasa. Sungguhlah praktikum ini medan amali, medan mempraktikkan segalanya. Bukan sahaja medan praktik ilmu pedagogi yang telah dipelajari, tetapi lebih kepada intro atau mukaddimah, bagaimana kita bisa berdepan dengan situasi sebenar medan perjuangan.

Saya berpraktikum di sekolah yang menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran pada sesi petang. Bertolak dari IPG pada jam 11.30, selalunya akan singgah di Chip Fatt untuk memperbanyakkan lembaran kerja, atau melaminate bahan sumber pengajaran, barulah ke sekolah lebih kurang jam 12.00 tengahari. Sampai di sekolah pada jam 12.30, pulang ke IPG pada jam 6.30 petang. Semasa minggu-minggu awal praktikum, saya seringkali tertidur walaupun malam masih awal. Kepenatan. Entahlah apa yang begitu memenatkan. Ketika ini, barulah terbayang wajah mak dan abah yang pernah mengajar sesi petang. Barulah terasa, penatnya mak dan abah semasa itu, ditambah pula dengan kerenah anak yang pelbagai... Ya Allah, kau peliharalah kedua ibu-bapaku, sebagaimana mereka memeliharaku di waktu kecil.

Kini, tinggal lebih kurang tiga minggu lagi untuk saya menghabiskan praktikum terakhir ini. Alhamdulillah, sudah boleh menyesuaikan diri. Cuma, masih ada lagi kelompongan dari segi pengurusan masa dan tenaga. Banyak yang hendak disiapkan, tetapi seringkali diri ini kalah dengan tuntutan jasad yang kononnya letih, penat, tidak larat.


Teringat perbualan dengan Ummi Naufal, sukarnya nak mengimbangi kerja di sekolah dengan perkara-perkara lain di IPG yang perlu diuruskan. Kata Ummi, itu belum lagi punya suami dan anak yang perlu diladeni... Ya Allah.. kurniakanlah kekuatan dan kesabaran. Sesungguhnya, jalan ini masih panjang... Masih banyak yang belum ditempuh. Ujian kesibukan dan kekangan masa ini hanya sedikit saya pasti..

Zaman belajar ini adalah zaman melatih diri dalam perjuangan. Tetapi medan sebenarnya adalah setelah tamat pelajaran, semasa berhadapan dengan masyarakat, semasa telah berkeluarga dan beranak-pinak. Semasa ini, apakah kita masih punya energi untuk meneruskan jalan hidup yang dipilih ini??? Semoga Allah menetapkan hati kita agar sentiasa tsabat dalam perjuangan ini...

Buat diri, selamat berjihad menentang hawa nafsu, dan godaan syaitan yang sentiasa menuntut perkara yang sia-sia...

Ayuhlah!! atur langkahmu, dalam semangat yang sedang berkobar, mahupun dalam jiwa yang sedikit longlai... menapak satu demi satu..

Melangkahlah.. Biar sukar,. biar duka mengiringi.. Kerana ia lebih baik, dari berdiam diri, tanpa maju walau hanya selangkah kecil...

................................................................................................

Serasa tidak mencukupi masa 24 jam sehari yang telah diberi. Sibuk dengan praktikum, tiada terkejar perkara-perkara lain yang tidak boleh ditinggalkan,.. Jadi, saya tinggalkan dulu blog ini buat seketika, memberi laluan kepada perkara yang lebih awla. InsyaAllah, jika punya sela masa dalam 5 minggu tempoh praktikum yang tersisa ini, saya akan cuba update dari semasa ke semasa. Sekian dulu dari saya, Salam Ziarah... Salam Perjuangan!!

~along Nazirah~

Saya dahaga, saya rindu... Saya dahagakan upaya diri dalam membaca bahan-bahan berat. Saya rindukan saat diri begitu teruja dengan novel-novel sastera Faisal Tehrani dan Nisah Haji Haron yang mencabar daya fikir untuk memahami, yang menambah kosa kata dan keindahan dalam berbicara. Terasa mata segar, otak juga segar. Daya membaca saya kini tidak secergas dulu. Mengapa? Persoalan yang saya biarkan merasuki fikiran sendiri.

Beberapa hari lalu saya menonton temubual Malaysia Hari Ini dengan Saudara Faisal Tehrani melalui 'Youtube'. Antara yang lekat di fikiran saya, yang menyebabkan saya terdiam, adalah apabila Faisal menceritakan tentang pertemuannya dengan Pak Samad di Masjid Negara, ketika dia mula-mula mahu menulis.

Lima perkara yang digariskan oleh Pak Samad,
Pertama : membaca
Kedua : membaca
Ketiga : membaca
Keempat : membaca
Kelima : menulis

Begitu pentingnya membaca sebelum kita melontarkan idea.. Hm.. Sebenarnya bukanlah sesuatu yang menghairankan, bukankah ayat pertama yang Allah turunkan adalah Iqra'? Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhanmu...

Kebelakangan ini, saya lebih banyak membeli buku daripada membaca buku. Buku yang dibeli pula terdiri daripada pelbagai genre; ada sastera, motivasi dan agama. Saya terkenang teguran seorang rakan, kalau mahu membaca, spesifikkan genrenya agar tidak berkecamuk. Nasihat itu masih saya ingat hingga kini, cuma aplikasinya, jarang saya amalkan dek kerana keghairahan mengumpul buku-buku yang dirasakan menarik.

Deretan buku-buku yang tersusun kemas di dalam rak di asrama dan di rumah begitu sepi menanti belaian lembut jari-jemari saya, juga merindukan sorotan mata saya yang memandang mesra aksara-aksara yang menyimpan sejuta makna. Apakah saya tega membiarkan mereka terus sepi?? Sayalah yang sepi tanpa mereka...

Saya menulis di blog ini pada awal tahun 2009 yang lalu. Sebagaimana yang pernah saya katakan di awal penulisan, blog ini adalah tempat percubaan saya untuk membangunkan kecerdasan verbal-linguistik saya. Pun, ia tidak seharusnya menjadi percubaan tanpa asas dan pegangan. Kelesuan dalam membaca turut memberi kesan kepada penulisan saya. Sedikit demi sedikit, bahasa yang saya gunakan dalam penulisan di blog ini mula berubah, daripada menggunakan bahasa standard, menambah simbol di akhir ayat, dan akhirnya menggunakan bahasa harian.

Bukanlah menjadi suatu kesalahan untuk menulis dalam bahasa yang tidak formal, tetapi kalau bukan kita yang berbangsa Melayu ini yang berbicara dengan keindahan berbahasa, siapa lagi? Setiap penulisan itu juga akan menggambarkan diri sebenar penulis tanpa sedar. Justeru, saya ingin mengambil masa, mencari sedikit ruang yang boleh saya manfaatkan dalam mencari kembali jati diri yang hilang. Bukan sekadar tentang membaca, tetapi juga 'diri sendiri' yang seolah-olah hilang ditelan arus globalisasi.

Mata saya sudah letih menatap hidangan-hidangan 'hedonisme'. Saya juga insan biasa yang tidak pernah lari dari berbuat kesilapan. Saya juga selalu terjatuh ke lembah yang dalam, cuba mendaki dan sering gagal lagi.. Namun, apakah saya tega membiarkan diri kehausan dan kesakitan dalam jurang yang dalam ini? Hanya saya yang dapat mengubah diri saya, bukan orang lain...

Saya lontarkan tanda tanya kepada diri,.. Bilakah bisa kembali???
Salam.. Entri pertama untuk blog ini. Sememangnya, diri ini bukanlah seorang yang begitu arif tentang blog. Begitu juga dengan bidang penulisan yang tidak boleh dipisahkan dengan blog. Walaubagaimanapun, kecerdasan pelbagai boleh dipertingkatkan. Apa salahnya jika saya mencuba membangunkan kecerdasan linguistik agar setara dengan kecerdasan visual-ruang dan kinestetik saya. =)

Untuk permulaan, blog ini mungkin tidak mempunyai sebarang tema. Kewujudannya adalah sebagai menyahut arus teknologi semasa, selain berkongsi idea dan cerita. Moga kewujudan blog ini dapat menjalinkan ikatan ukhuwwah sesama blogger , rakan dan taulan. Akhir kata, salam ukhuwwah penuh mahabbah buat semua.